KUCHING, 16 November: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan insiden mencederakan seorang guru serta kesalahan melibatkan bahan letupan di sebuah sekolah swasta di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Saifullizan Ishak berkata, remaja terbabit didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Menurutnya, tertuduh hadir ke mahkamah dengan ditemani kedua-dua ibu bapanya dan diwakili peguam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
“Mahkamah membenarkan permohonan supaya remaja terbabit menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Sentosa, Kuching mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah menetapkan 17 Disember 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Saifullizan berkata, Kontinjen Polis Sarawak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.




