KEPUTUSAN kerajaan untuk membuat larangan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya, termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya, sesuatu langkah yang perlu dialu-alukan.
Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021. Manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula akan mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Langkah ini dilaksanakan untuk memastikan tidak ada peningkatan kes Covid-19 kerana sebelum ini dikatakan terdapat banyak majlis politik yang tidak mematuhi SOP. Apabila berlakunya PRN Melaka, dijangka banyak perhimpunan dan majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya akan diadakan dan Melaka menjadi tumpuan ahli-ahli pelbagai parti politik untuk berkumpul dan berkempen besar-besaran.
Hal ini dibimbangi akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti. Maka, Kementerian Kesihatan menggunakan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Larangan kempen bersemuka
Namun demikian sebarang larangan aktiviti kempen di PRN Melaka seolah-olah menutup terus kempen bersemuka, dilihat kurang sesuai dengan semangat atau tujuan sebenar untuk mengadakan pilihan raya atau semangat demokrasi.
Tujuan pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat yang sesuai untuk dilantik mewakili suara rakyat, manakala ruang pemilihan dalam konteks moden bukan sahaja dilihat melalui idea ucapan secara maya, malah perlu juga melihat lebih dekat nuansa bakal wakil rakyat dengan pihak yang menyokongnya, khususnya para jurukempen.
Memang Covid-19 sangat memberikan risiko kesihatan awam. Namun, negara-negara seperti Singapura dan Korea Selatan juga mengadakan pilihan raya di peringkat nasional dan membuktikan berjaya mengekang penularannya sepanjang tempoh tersebut.
Namun, kempen dari rumah ke rumah dalam pilihan raya di Singapura dibenarkan dan dengan syarat penjarakan fizikal perlu dilaksanakan. Ia juga tertakluk kepada tidak boleh melebihi lima orang dan tidak dibenarkan bercampur dengan kumpulan lain. Setiap kumpulan juga mesti menjarakkan diri setiap satu meter dengan kumpulan lain. Pemakaian litup muka adalah diwajibkan dan perlu mengelak berjabat tangan.
Dengan kata lain, negara Singapura tidak menggunakan alasan Covid-19 sebagai alasan melarang kempen dari rumah ke rumah atau untuk bersemuka. Terdapat beberapa peraturan tertentu dikenakan, akan tetapi tidak sehingga menutup segala ruang untuk bersemuka walaupun secara penjarakan sosial.
Pada masa kini juga sudah berlakunya fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara dan ini merupakan fasa terakhir dan rakyat dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Bermakna, semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga dibuka, namun tertakluk kepada SOP ketat. Namun, dalam konteks peraturan yang KKM laksanakan dalam bentuk sebarang sekatan mengadakan aktiviti majlis sosial secara menyeluruh, tidaklah menggambarkan situasi sebenar yang berlaku. Sebaliknya seolah-olah umpama fasa 1, 2 dan 3.
Alasan Covid-19 tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya sebagai alasan larangan kempen bersemuka kerana fasa sedang dilalui sekarang lebih kepada situasi endemik dan bukan lagi pandemik. Hal ini diperkukuhkan lagi bahawa lebih 90 peratus pelaksanaan vaksinisasi sudah dilakukan di peringkat nasional dan situasi ini sudah tentu berbeza dengan situasi ketika PRN Sabah yang vaksinisasi belum lagi dibuat.
Peranan SPR
Di sinilah peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dilihat mengambil serius langkah-langkah yang boleh memudahkan amalan demokrasi dan perlu melaksanakan apa-apa sahaja keputusan yang tidak sihat untuk demokrasi dengan memastikan apa-apa larangan tidak ditutup secara menyeluruh dalam konteks kempen bersemuka. Sebaliknya, memanfaatkan pengalaman-pengalaman negara maju bagi memastikan dalam langkah berjaga-jaga untuk mengekang penularan Covid-19 ketika berkempen, aspek amalan dan semangat demokrasi perlu juga dipelihara.
Langkah terbaik SPR adalah memastikan PRN Melaka dapat membolehkan pengundi membuat pilihan terbanyak dengan membuka ruang untuk memilih, dijadikan medan interaksi pengundi dengan parti-parti politik, namun seolah-olah terhalang. Kesannya, pengundi hanya bergantung pada media sosial dan ini dilihat agak kurang seimbang, terutama di kawasan yang mempunyai liputan yang lemah.
Perkara tersebut akan menyebabkan pengundi sukar untuk mengenali calon-calon wakil rakyat mereka dan tidak dapat berinteraksi bersemuka dengan calon-calon yang bertanding. Sepatutnya sebelum apa-apa keputusan dibuat, ia perlu melibatkan penglibatam awam atau townhall agar mendapat maklum balas yang lebih menyeluruh.
Malah, semua parti bertanding patut dibawa berbincang dan SPR sepatutnya memastikan terdapat konsensus semua parti sebelum membuat apa-apa keputusan yang boleh ditafsirkan sebagai berlakunya keterhakisan hak demokrasi dalam kalangan pengundi.
Rundingan
Tanpa rundingan, perbincangan dan konsensus daripada semua parti bertanding dan penglibatan orang awam secara menyeluruh, maka ini boleh menyebabkan berlakunya bantahan, dan paling memburukkan adalah dijangka menyebabkan peratusan undi akan menurun. Hal ini juga akan menyebabkan semua parti politik akan marah-marah, protes, tak puas hati dan tidak bersedia ke arah tersebut.
Sedangkan di tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah dan sektor pelancongan sudah terbuka luas. Perkara inilah perlu ditangani dengan baik oleh SPR untuk membentuk SOP yang lebih adil dan saksama. Ia juga memancarkan ketelusan, integriti sebagai badan yang sudah lama menangani isu-isu pilihan raya negeri dan negara.
Di Singapura, parti-parti politik yang bertanding dan calon tanpa mengira ideologi parti, diberikan ruang stesen televisyen dan radio secara percuma untuk menyampaikan mesej, sikap dan pendirian parti serta idea-idea bakal wakil rakyat dan parti. Ia digunakan bagi mengimbang apabila terdapat SOP yang dibimbangi kempen politik tidak sampai kepada rakyat jelata. Pada masa yang sama juga, mereka yang sedang menjalani Perintah Kuarantin tidak dibenarkan mengundi bagi mengelak kontak rapat dengan orang ramai, agar dapat memastikan risiko penularan komuniti dapat dikurangkan.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)