BETONG, 15 November: Sokongan lebih menyeluruh kepada pekebun kecil menerusi penggunaan teknologi moden, peningkatan produktiviti dan pengukuhan rantaian pemasaran perlu terus diperkasakan bagi memastikan sektor komoditi kekal berdaya saing serta mampu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pekebun kecil yang terlibat dalam sektor kelapa sawit, lada hitam, getah, koko dan sagu memerlukan sokongan berterusan daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia serta agensi berkaitan.
Menurutnya, sektor komoditi sebelum ini menjadi antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar, khususnya di Bahagian Betong, namun beberapa cabaran baharu perlu ditangani bagi memastikan kelangsungannya.
Beliau berkata, antara cabaran utama ialah peningkatan usia pekebun kecil selain kurangnya minat golongan muda untuk meneruskan kegiatan pertanian yang diwarisi keluarga.
Sehubungan itu, beliau mahu pendekatan lebih inovatif diperkenalkan, termasuk memperluas penggunaan teknologi moden bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, meningkatkan kecekapan operasi ladang serta menambah hasil pengeluaran.
“Penggunaan teknologi perlu dipertingkatkan supaya kerja-kerja di ladang dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
“Kita juga perlu mencari jalan untuk menarik minat golongan muda menceburi sektor komoditi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bual Bicara Komoditi 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini semalam.
Dalam pada itu, Uggah menegaskan produktiviti sektor kelapa sawit di Sarawak perlu dipertingkatkan memandangkan purata hasil ketika ini sekitar 14 tan sehektar masih rendah berbanding beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang mampu mencapai sehingga 20 tan sehektar.
Justeru, beliau menggesa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meneroka pendekatan baharu bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil, selain membantu mereka memperkukuh kedudukan dalam rantaian pemasaran hasil pertanian.
Beliau turut mencadangkan penubuhan koperasi dalam kalangan pekebun kecil bagi membolehkan hasil keluaran dikumpulkan dan dipasarkan secara terus kepada kilang tanpa terlalu bergantung kepada orang tengah.
“Melalui koperasi, pekebun kecil boleh mengumpulkan hasil dan memasarkannya secara lebih tersusun.
“Pendekatan ini berpotensi meningkatkan kuasa tawar-menawar serta pulangan yang diterima oleh mereka,” katanya.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan pekebun kecil dalam industri komoditi, malah berupaya memastikan mereka menikmati pulangan lebih baik hasil usaha yang dilaksanakan.
Uggah turut menekankan kepentingan memanfaatkan potensi komoditi sedia ada secara lebih strategik menerusi penggunaan teknologi, pembangunan produk hiliran serta kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal dan pekebun kecil.
Beliau berharap segala usaha yang dirancang dapat membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat luar bandar untuk meningkatkan pendapatan, sekali gus menjadikan sektor komoditi sebagai sumber ekonomi yang mampan untuk generasi akan datang.
Program sehari itu melibatkan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), dengan penyertaan seramai 778 peserta komoditi berdaftar di bawah ketiga-tiga agensi berkenaan.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Oleh Adi Safarman




