BETONG, 14 November: Pelaksanaan projek naik taraf Jalan Penyulok/Nanga Penebak/Ulu Penebak di kawasan Ulu Layar perlu dipantau secara lebih teliti bagi memastikan kerja berjalan lancar mengikut jadual serta tidak terus tertangguh sehingga menjejaskan kepentingan penduduk setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek infrastruktur yang telah diluluskan kerajaan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana kemudahan jalan raya amat penting dalam meningkatkan keselesaan perjalanan dan memudahkan urusan harian masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong selaku agensi pelaksana perlu meneliti prestasi kontraktor serta mengenal pasti punca kelewatan, termasuk kekangan jentera dan bekalan bahan binaan seperti simen yang boleh menjejaskan kemajuan kerja di tapak.
“Pihak JKR akan memantau projek ini dengan lebih teliti dan memastikan setiap masalah di tapak ditangani segera. Kita tidak mahu kerja yang telah diluluskan terus tertangguh sehingga menyusahkan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kebersihan Persekitaran Alam Lestari, Komuniti Bestari di Rumah Panjang Kelimbang Jaman, Penyulok, Ulu Layar, hari ini.
Uggah turut menegaskan bahawa tindakan tegas, termasuk penamatan kontrak, perlu dipertimbangkan sekiranya kontraktor gagal menunjukkan prestasi memuaskan atau tidak melaksanakan tanggungjawab seperti yang ditetapkan.
“Kepentingan rakyat mesti menjadi keutamaan. Jika kontraktor gagal menunjukkan prestasi yang memuaskan dan tidak memenuhi tanggungjawab mereka, tindakan sewajarnya perlu diambil supaya projek dapat diteruskan tanpa menjejaskan kepentingan penduduk,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur jalan raya kekal menjadi antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kesalinghubungan kawasan pedalaman, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap pemantauan berterusan oleh agensi pelaksana dapat dipertingkatkan bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan, sekali gus memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat.
Oleh Adi Safarman




