PBB Ba’kelalan bersedia hadapi PRN Sarawak dengan keyakinan tinggi

Facebook
WhatsApp
SEDIA BERJUANG...Henry Sum Agong dan PBB Ba'kelalan sudah bersedia sepenuhnya berdepan PRN Sarawak Ke-13.

LAWAS, 14 November: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dengan penuh keyakinan.

Ketua Cawangan PBB Ba’kelalan, Dato Henry Sum Agong berkata, pihaknya sudah bersedia, sama seperti rakan mereka di PBB Cawangan Bukit Sari, untuk menghadapi pilihan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan.

Mengulas lanjut, Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas berkata, pihaknya kini menunggu kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cadangan penukaran nama DUN Ba’kelalan kepada DUN Gunung Murud.

“Kita tunggu kenyataan SPR sama ada nama DUN Ba’kelalan kekal atau ditukar kepada DUN Gunung Murud.

“Apa pun keputusannya, kita sudah bersedia dan pasukan kita sudah digerakkan dari Lawas hingga ke hujung Ba’kelalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat PBB Cawangan Ba’kelalan di Hotel Seri Malaysia Lawas, petang tadi.

Sementara itu, beberapa perkara turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan, antaranya masalah bekalan air serta liputan telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Henry Sum berkata, kedua-dua isu berkenaan sudah lama membelenggu penduduk dan masih belum menunjukkan penyelesaian yang memuaskan.

“Ini isu bekalan air dan internet atau telekomunikasi yang sering menimbulkan rungutan. Rakyat sudah lama berdepan masalah ini dan ia bukan perkara baharu.

“Pada masa ini, Premier Sarawak mengajak rakyat menerokai ekonomi baharu, tetapi kita masih berdepan masalah asas seperti kemudahan telekomunikasi yang tidak memuaskan.

“Terlalu banyak perbincangan diadakan, tetapi hasilnya masih belum kelihatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Henry Sum meminta semua ahli PBB Cawangan Ba’kelalan hadir beramai-ramai bagi menyambut kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang dijadualkan berada di Lawas pada 18 November ini.

“Saya mahu semua ahli hadir bersama Premier kita, Datuk Patinggi Abang Johari, pada majlis perasmian Bangunan Pentadbiran Bersepadu Kerajaan Sarawak (IAC), majlis pecah tanah Projek Bekalan Air Trusan 3 di Ulu Trusan serta perasmian Jambatan Bandar Lawas pada 18 November ini.

“Kita hadir bersama-sama pemimpin bagi menunjukkan semangat PBB Ba’kelalan yang lebih tinggi daripada tanah tinggi Ba’kelalan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Wanita PBB Cawangan Ba’kelalan, Josephine Dato Henry Sum dan Ketua Pemuda PBB Ba’kelalan, Steve Lius.

Oleh Adeng Edrus