Sarawak dibangunkan semua kaum, tidak bergantung sepenuhnya pada peruntukan luar

Facebook
WhatsApp
TEGUH BERSATU...jawatankuasa PBB Bukit Sari melaung ketaatan dan sokongan teguh kepada kepimpinan Awang Tengah di Bukit Sari.

LAWAS, 14 November: Sarawak merupakan sebuah wilayah yang dibangunkan secara bersama oleh rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kekuatan Sarawak terletak pada kerjasama semua kaum yang bergerak sederap dalam membangunkan wilayah ini.

Menurutnya, Sarawak telah bangkit daripada sebuah wilayah yang terasing dan kurang maju kepada wilayah yang berdaya saing serta berkeupayaan menjana ekonomi demi kemakmuran rakyat dan negeri.

“Di Sarawak, tidak ada satu kaum pun yang boleh memerintah sendiri melainkan kita bekerjasama antara satu sama lain.

“Jika perjuangan hanya berasaskan kaum, ia sebenarnya boleh menimbulkan kecurigaan dalam kalangan kaum lain.

“Sarawak tidak dibina oleh satu kaum sahaja, sebaliknya dibangunkan hasil kerjasama semua kaum. Sebab itulah Sarawak dapat melangkah maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di sebuah hotel di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Timbalan Presiden PBB Sarawak berkata, semangat kerjasama dan keharmonian dalam kalangan kepimpinan pelbagai kaum dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) memudahkan usaha menggembleng tenaga bagi membangunkan negeri ini.

Katanya, kesepakatan rakyat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni turut menjadi faktor penting dalam memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan di seluruh negeri.

Beliau turut menjelaskan bahawa kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan peruntukan berjumlah RM14.8 bilion bagi Belanjawan 2027, dengan lebih 60 peratus daripadanya disalurkan untuk projek pembangunan.

Sebaliknya, peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Sarawak lebih tertumpu kepada perbelanjaan mengurus, termasuk pembayaran gaji kakitangan persekutuan seperti guru, anggota tentera, polis dan doktor, manakala kurang 10 peratus diperuntukkan untuk pembangunan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.

Mesyuarat berkenaan diadakan bagi memastikan segala persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 berjalan lancar berdasarkan senarai semak PBB Cawangan Bukit Sari Lawas.

Mesyuarat itu kemudiannya diteruskan dengan perbincangan tertutup mengenai program dan perancangan kempen PRN Sarawak Ke-13 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari.

Oleh Adeng Edrus