CENTEXS Dalat tawarkan tiga bidang latihan khusus yang tidak ada di lima kampus lain

Facebook
WhatsApp
CENTEXS Dalat

RAMAI anak muda mengeluh sukar mendapatkan pekerjaan. Ada yang sudah berkali-kali menghantar permohonan tetapi masih belum mendapat tawaran.

Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa pencapaian akademik yang sederhana menjadi penghalang untuk mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Hakikatnya, kesukaran mendapatkan pekerjaan bukan semata-mata berpunca daripada sikap terlalu memilih.

Kekurangan pengalaman, persaingan mendapatkan pekerjaan dan ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan majikan turut menjadi penyumbang.

Namun begitu, langkah paling pragmatik yang boleh diusahakan oleh golongan muda ialah melengkapkan diri dengan kemahiran bernilai tinggi, sama ada untuk merebut peluang pekerjaan bergaji lumayan mahupun membina sumber pendapatan sendiri melalui keusahawanan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Sarawak pada 2025 berada pada kadar 3.2 peratus.

Walaupun angka ini tidak merangkumi keseluruhan cabaran mikro yang dihadapi oleh setiap lepasan sekolah, ia menjadi isyarat jelas bahawa usaha memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja mesti terus diberi keutamaan.

Bagi anak muda Sarawak berumur 18 tahun ke atas dan memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terdapat pelbagai laluan alternatif disediakan menerusi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).

Dengan enam kampus utama yang terletak di Kuching, Lundu, Betong, Mukah, Dalat dan Lawas, CENTEXS menawarkan pelbagai program latihan teknikal dan vokasional yang disesuaikan mengikut keperluan industri semasa.

Antara kampus yang paling menarik perhatian ialah CENTEXS Dalat kerana menawarkan tiga bidang latihan khusus yang tidak terdapat di lima kampus CENTEXS yang lain.

PELAJAR CENTEXS Dalat

Ketiga-tiga bidang tersebut merangkumi kecekapan bahasa, penjagaan warga emas dan pembinaan bot komposit yang menjanjikan nilai komersial tinggi sama ada untuk pasaran kerja mahupun bidang keusahawanan.

Melalui Pusat Teknologi Bahasa, kampus ini menawarkan Sijil Kecekapan Bahasa Inggeris dan Mandarin selama dua bulan, manakala bahasa Melanau mengambil masa tiga bulan.

Pelatih yang menguasai bahasa akan lebih berkeyakinan dalam memasarkan diri dalam peluang pekerjaan.

Kemahiran ini sangat sesuai dalam sektor perhotelan, perkhidmatan pelanggan dan pelancongan, selain membolehkan mereka menawarkan kelas bimbingan atau menghasilkan kandungan pendidikan secara dalam talian.

Penguasaan bahasa asing ini juga mampu memanfaatkan potensi yang berkembang dalam sektor pelancongan Sarawak apabila merekodkan hampir 4.97 juta ketibaan pelawat dengan hasil mencecah RM12.67 bilion pada tahun 2025.

Menariknya, penawaran bahasa Melanau yang memfokuskan dialek Dalat bukan sahaja membantu memelihara warisan budaya tempatan, malah membolehkan pekerja luar berinteraksi dengan lebih berkesan dengan komuniti setempat serta memahami budaya mereka dengan lebih mendalam.

Bagaimanapun, pelatih disarankan untuk melihat kursus singkat ini sebagai asas komunikasi profesional yang perlu diperkukuh melalui latihan dan penggunaan secara berterusan agar mencapai tahap kefasihan yang lebih mantap dan meyakinkan.

Selain bidang bahasa, CENTEXS Dalat turut menawarkan Sijil Penjagaan Warga Emas (Elderly Caregivers) selama lapan bulan yang merangkumi latihan penjagaan paliatif.

Latihan ini memberi pendedahan kepada pelatih akan kaedah penjagaan pesakit yang memerlukan sokongan jangka panjang, termasuk pengurusan kesakitan, pemantauan kesihatan serta bantuan emosi bagi memastikan pesakit dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan bermaruah.

LATIHAN penjagaan warga emas turut diperkenalkan di CENTEXS Dalat.

Penawaran program ini amat bertepatan dengan perubahan struktur demografi negara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk berusia 65 tahun ke atas merangkumi 8.0 peratus daripada jumlah penduduk pada 2025, manakala Sarawak pula dijangka mencapai status negeri tua menjelang 2028.

Peningkatan populasi warga emas ini mewujudkan keperluan yang semakin mendesak terhadap perkhidmatan penjagaan dan sokongan, sekali gus membuka pelbagai peluang kerjaya di pusat jagaan, perkhidmatan penjagaan di rumah serta bidang keusahawanan berkaitan.

Namun begitu, bakal pelatih perlu memastikan mereka mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan dan memperoleh pensijilan yang diiktiraf bagi menjamin perkhidmatan yang profesional, berkualiti serta diyakini masyarakat.

Satu lagi program khusus yang ditawarkan selama dua bulan di kampus ini ialah Pembinaan Bot Komposit (Composites Boat Building), yang mendedahkan pelatih kepada kemahiran membina dan membaiki bot menggunakan bahan gentian kaca.

Kesesuaian program ini cukup jelas memandangkan topografi Sarawak yang kaya dengan kawasan pesisir pantai dan jaringan sungai yang luas, di samping sokongan data Jabatan Perikanan Malaysia yang merekodkan sebanyak 5,159 vesel menangkap ikan berlesen pada tahun 2024 melibatkan lebih 10,700 nelayan.

PEMBINAAN bot komposit yang menjanjikan nilai komersial tinggi sama ada untuk pasaran kerja mahupun bidang keusahawanan, di CENTEXS Dalat.

Lepasan latihan ini berpeluang menceburi kerjaya di bengkel pembinaan bot dan industri produk gentian kaca atau memulakan perkhidmatan penyelenggaraan serta pembaikan bot berskala kecil apabila sudah memiliki pengalaman, modal dan peralatan yang mencukupi.

Bagi memastikan inisiatif latihan ini memaksimumkan impak terhadap masa depan anak muda, beberapa langkah strategik wajar diambil secara bersepadu.

Golongan belia perlu mengubah perspektif dengan tidak menjadikan keputusan peperiksaan SPM sebagai titik penamat, sebaliknya memanfaatkan kursus jangka pendek ini sebagai batu loncatan untuk memasuki pasaran kerja.

Pada masa sama, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan moral kepada anak-anak untuk menceburi bidang kemahiran memandangkan industri moden hari ini lebih menilai kebolehan praktikal berbanding kelulusan akademik semata-mata.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpeluang menaiki bot Catamaran yang menggunakan enjin hidrogen ketika merasmikan CENTEXS Dalat pada November 2025

Pihak institusi dan industri pula digalakkan memperluas kerjasama bagi melancarkan penempatan latihan industri selepas tamat kursus, manakala bakal pelatih serta ibu bapa disarankan mengambil tahu kemudahan yang ditawarkan oleh CENTEXS seperti pendaftaran percuma, asrama, pakaian seragam, perlindungan insurans, serta elaun atau biasiswa tertakluk kepada syarat kelayakan semasa.

Masa depan seseorang tidak semestinya bermula dengan jawatan besar atau pendapatan yang lumayan sejak hari pertama.

Ada kalanya, kejayaan bermula dengan keberanian mengambil langkah pertama untuk mempelajari satu kemahiran bernilai, membina pengalaman secara berperingkat dan membuktikan kebolehan diri dalam memenuhi keperluan masyarakat.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat pengambilan dan sesi pendaftaran terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi CENTEXS Sarawak di www.centex-sarawak.my atau berhubung terus melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-808 7608.

Oleh Mohamad Fadillah Sabali

Bukan sekadar berilmu, tetapi beradab

ILMU merupakan anugerah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Melalui ilmu, seseorang dapat membezakan antara perkara yang haq dan yang

Menanti yang pasti

DALAM kehidupan ini, kita sebenarnya sentiasa menanti sesuatu. Ketika kecil, kita menanti untuk menjadi dewasa. Ketika belajar, kita menanti kejayaan.