Serangan siber tidak mampu hapuskan rekod pinjaman bank – Pakar

Facebook
WhatsApp
SERANGAN siber bukan jalan untuk menghapuskan hutang kerana rekod pinjaman pelanggan masih boleh dipulihkan menerusi sistem sandaran dan dokumen kewangan bank. Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 November: Rekod pinjaman pelanggan institusi perbankan adalah mustahil untuk dihapuskan secara kekal menerusi serangan siber, walaupun pencerobohan sedemikian berupaya memadam, mengubah suai atau menyulitkan (encrypt) data operasi bagi tempoh tertentu.

Penyelidik Kanan Centre for Cybersecurity and Data Intelligence (CCDI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Zubaile Abdullah berkata sistem perbankan moden dibina dengan pelbagai lapisan keselamatan yang kukuh termasuk kawalan akses ketat, jejak audit transaksi, sistem sandaran (backup) serta mekanisme pemulihan data berperingkat.

“Rekod pinjaman boleh wujud dalam beberapa sistem berbeza. Sekiranya penggodam berjaya memadamkan rekod pinjaman dalam pangkalan data utama sesebuah bank, ini tidak bermakna hutang pelanggan turut terhapus.

“Pihak bank masih boleh menggunakan rekod sandaran, sejarah transaksi, dokumen perjanjian pinjaman dan rekod kewangan lain untuk membina semula maklumat tersebut,” katanya kepada Bernama. 

Bagaimanapun, Zubaile yang juga profesor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UTHM berkata proses pemulihan bergantung kepada tahap kerosakan insiden, integriti data sandaran serta kecekapan pelan pemulihan bencana bank terbabit.

“Saya melihat kenyataan warga siber di media sosial yang berharap penggodam dapat menyerang sistem bank seterusnya menghapuskan hutang mereka. Mungkin ia dianggap gurauan, tetapi harus diingat implikasi serangan terhadap sistem perbankan sebenarnya sangat serius,” katanya.

Beliau berkata sekiranya integriti data kewangan terjejas, impaknya bukan sahaja pada rekod pinjaman malah baki akaun, transaksi pembayaran dan perkhidmatan perbankan kepada orang ramai juga boleh terganggu.

Sementara itu, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata tahap kebarangkalian risiko serangan siber untuk memadamkan data bank berlaku adalah sangat minimum.

Noor Nirwandy berkata sektor perbankan negara dilindungi oleh kawalan pengurusan risiko teknologi maklumat yang ketat, selain institusi kewangan diklasifikasikan sebagai entiti di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Data perbankan adalah komponen yang sangat sukar dimusnahkan kerana ia dilindungi pelbagai lapisan teknologi, termasuk perisian penyulitan (encryption) dan penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption),” katanya.

Selain keupayaan teknologi, beliau berkata Malaysia turut disokong ekosistem perundangan yang kukuh termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta pemantauan berterusan oleh agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan maklumat kewangan sentiasa terjamin.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar sektor kewangan tidak leka kerana evolusi teknik ancaman siber kini semakin canggih dan sentiasa mencari ruang kelemahan baharu.

Menjelaskan modus operandi penjenayah siber, Noor Nirwandy berkata sasaran penggodam lazimnya tertumpu kepada penggunaan perisian hasad (malware) dan perisian tebusan (ransomware) bagi mengunci serta memanipulasi data untuk tujuan pemerasan kewangan, bukannya berniat menghapuskan hutang peminjam.

“Penyerang siber akan menggunakan elemen penggodam dan serangan siber seperti malware tertentu untuk memusnahkan data dan mengunci data supaya dapat meletakkan maklumat sebagai pampasan untuk organisasi kembali memperoleh akses.

“Serangan siber terhadap bank bukanlah sesuatu yang boleh menghapuskan hutang tetapi lebih mengganggu kestabilan sistem kewangan selain menguji ketahanan siber sesebuah institusi perbankan,” katanya. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata walaupun ancaman keselamatan siber Malaysia berada dalam kategori sederhana dan kesiapsiagaan yang dilihat mampu untuk menangani ancaman siber, namun kemungkinan berlaku serangan masih boleh berlaku. – Bernama