“Mungkin kita tonton drama Korea malam ini” – Aidil Sharin sindir kekecohan tepi padang

Facebook
WhatsApp
AIDIL Sharin Sahak ketika sidang media selepas perlawanan Kuching FC melawan Selangor FC pada aksi perlawanan spearuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, di Petra Jaya, malam ini.

PETRA JAYA, 8 November: “Mungkin kita tonton drama Korea malam ini.”

Itu sindiran bersahaja ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak ketika diminta mengulas dakwaan rakan sejawatnya dari Selangor FC, Kim Pan-gon yang mendakwa pemain Kuching City, Nazmi Faiz Mansor menghampirinya secara agresif sehingga mencetuskan kekecohan selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA, malam ini.

Aidil bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang mengenai dakwaan berkenaan, sebaliknya menyifatkan setiap pihak perlu menghormati antara satu sama lain dan menyerahkan sebarang siasatan kepada pihak berkuasa bola sepak.

Menurutnya, prestasi serta reaksi seseorang jurulatih sepanjang perlawanan juga perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk rekod disiplin dan insiden yang pernah berlaku sebelum ini.

“Bagaimana pula dengan reaksinya sepanjang 90 minit? Ini bukan hanya mengenai perlawanan ini. Berapa banyak kad kuning dan kad merah yang diterimanya?

“Saya rasa itu sudah menjelaskan keadaan. Ada rakaman video, bukan? Biarlah FAM atau MFL menjalankan tugas mereka. Kita perlu menghormatinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan Kuching FC melawan Selangor FC pada aksi perlawanan spearuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, di Petra Jaya, malam tadi. 

Beliau turut mengingatkan bahawa sikap saling menghormati perlu bermula daripada diri sendiri sebelum mengharapkan orang lain melakukan perkara sama.

Aidil berkata, beliau lebih mengutamakan disiplin pemainnya kerana ia mencerminkan profesionalisme pasukan serta imej bola sepak Sarawak.

Katanya, pemain perlu sentiasa menunjukkan rasa hormat terhadap pasukan lawan tanpa mengira keputusan perlawanan.

Oleh Shahrul Qaizat