Enggan ulas kekalahan Selangor dalam sidang media, Kim Pan-gon desak MFL siasat Nazmi Faiz

Facebook
WhatsApp
KIM Pan Gon ketika sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua Kuching City melawan Selangor FC di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

PETRA JAYA, 8 November: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon enggan mengulas mengenai kekalahan pasukannya kepada Kuching City FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA, sebaliknya mahu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyiasat insiden membabitkan pemain Kuching City, Nazmi Faiz Mansor yang didakwa menghampirinya secara agresif selepas perlawanan.

Kim Pan-gon berkata, beliau tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai corak permainan, prestasi pemain mahupun keputusan perlawanan kerana insiden yang berlaku di kawasan bangku simpanan Selangor lebih menjadi perhatiannya.

Menurutnya, pemain bernombor lapan Kuching City itu didakwa menghampiri kawasan bangku simpanan Selangor sebelum berhadapan dengannya sehingga mencetuskan kekecohan apabila pemain dan pegawai pasukannya bertindak melindunginya.

“Pemain yang menjaringkan gol tidak sepatutnya datang ke kawasan bangku simpanan pasukan lawan untuk menyerang ketua jurulatih.

“Itu yang dilakukan pemain nombor lapan, Nazmi. Perkara itu menyebabkan keadaan menjadi kecoh,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Beliau menegaskan, kemenangan atau kekalahan bukan perkara utama dalam bola sepak, sebaliknya semangat kesukanan, sikap saling menghormati dan menghormati pasukan lawan perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Kim Pan-gon turut mempertahankan tindakan pemain dan pegawai Selangor yang terlibat dalam kekecohan itu, sambil menyifatkan mereka bertindak untuk melindunginya daripada kemungkinan berlaku perkara lebih buruk.

Katanya, beliau tidak berpendapat pemain dan pegawainya wajar dilayangkan kad merah kerana tindakan mereka hanya bertujuan menghalang pemain lawan daripada menghampirinya.

“Saya mahu melindungi pemain dan pegawai saya. Mereka tidak melakukan apa-apa, sifar. Mereka hanya mahu menghalang keadaan daripada menjadi lebih buruk.

“Saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku sekiranya mereka tidak menghalangnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa MFL menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan bagi memastikan nilai semangat kesukanan dan rasa hormat terus dipelihara dalam bola sepak.

Ketika ditanya sama ada beliau menerima keputusan kekalahan Selangor, Kim Pan-gon sekali lagi enggan mengulas mengenai keputusan perlawanan dan menegaskan beliau mahu pihak berkenaan memberi perhatian kepada insiden yang berlaku.

Oleh Shahrul Qaizat