Kuching City mara ke final, Selangor kempunan

Facebook
WhatsApp
KUCHING City FC mara ke final selepas mengalahkan Selangor FC 2-0 di laman sendiri. Foto Kuching City FC

PETRA JAYA, 8 November: Kuching City FC menempah tiket ke final Piala FA selepas menyingkirkan Selangor FC menerusi kemenangan 2-0 selepas masa tambahan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, malam ini.

The Cats bangkit daripada kekalahan 1-2 pada aksi pertama untuk mengatasi Selangor dengan agregat 3-2, sekali gus memusnahkan impian Gergasi Merah untuk melangkah ke pentas final.

Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri, Kuching City memulakan perlawanan dengan asakan bertali arus, namun beberapa peluang terhidang gagal diterjemahkan kepada jaringan pada babak pertama.

Selangor turut mempunyai peluang untuk mengancam gawang tuan rumah, tetapi benteng pertahanan Kuching City kekal ampuh untuk memastikan kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Safawi Rasid hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-49, namun rembatan pemain kebangsaan itu sekadar menggegar palang gol.

Bagaimanapun, Kuching City memperoleh peluang keemasan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas semakan VAR mengesahkan berlaku kekasaran terhadap Jerome Etame oleh pemain pertahanan Selangor.

Safawi yang mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti itu tenang meledak gol pada minit ke-57 untuk meletakkan Kuching City di hadapan 1-0.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat 90 minit permainan, sekali gus menyaksikan agregat terikat 2-2 dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan masih gagal menghasilkan jaringan pada separuh masa pertama masa tambahan sebelum detik paling dinanti-nantikan penyokong tuan rumah hadir pada minit ke-28 masa tambahan.

Gol sendiri Mukhairy Ajmal akhirnya menghadiahkan jaringan kedua buat Kuching City untuk mengubah kedudukan kepada 2-0, sekali gus meletakkan The Cats di hadapan dengan agregat 3-2.

Jaringan itu memastikan Kuching City mengesahkan kemaraan ke final Piala FA, manakala Selangor terpaksa melupakan hasrat untuk merebut trofi berkenaan.

Seramai 15,636 penyokong menjadi saksi kebangkitan luar biasa The Cats dalam aksi penuh dramatik itu.

Oleh Shahrul Qaizat