Jika anda penggemar kuih-muih maka sudah pastinya anda akan mengenali sejenis roti yang mula menjadi amat tular dalam kalangan netizen media sosial semenjak pertengahan tahun ini iaitu Jala Jelita.
Ini kerana roti Jala Jelita bukan sahaja dikenali dengan keenakan hidangannya bersama cicahan kuah kari atau serawa durian malah kecantikan dari segi warna dan reka bentuk yang dihasilkan.
Dipercayai bahawa roti ini mula tular di media sosial setelah kebanyakan kaum ibu mula mencari hobi-hobi baharu ketika meluangkan masa bersama ahli keluarga di rumah disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual salah seorang peminat roti Jala Jelita di Sri Aman yang telah mula berjinak-jinak dalam hobi penghasilan hidangan lazat berkenaan.
Junaiza Masri, 37, dari Kampung Muhibbah, Sri Aman berkata beliau mula menjadi salah seorang pencinta roti Jala Jelita semenjak Jun lepas setelah melihat perkongsian hidangan itu di media sosial.
Setelah tertarik terhadap hasil reka bentuk dan warna warni Jala Jelita, Juniaza yang memiliki kerjaya sebagai terapi kecantikan itu mula mempelajari cara penghasilan roti berkenaan daripada seorang kenalan yang dikenali sebagai cikgu Huda.
“Di bawah tunjuk ajar cikgu Huda, saya akhirnya berjaya menghasilkan roti Jala Jelita dalam pelbagai bentuk dan warna untuk dinikmati bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di kampung pada waktu minum pagi atau petang.
“Penghasilan roti Jala Jelita berkenaan terus saya perhalusi dari masa ke semasa di bawah tunjuk ajar secara berterusan daripada cikgu Huda sehingga ia kelihatan cantik dan kemas,” kata beliau.
Berbekalkan kemahiran berkenaan, beliau yang turut dikenali dengan panggilan mesra Mama Ian memberitahu mula cuba menghasilkan roti Jala Jelita versi sendiri seperti Jala Coklat dan Jala Red Velvet.
Roti-roti Jala Jelita yang dihasilkan ketika waktu lapang di rumah itu kemudiannya kata Junaiza akan dinikmati dengan kari ayam, sos coklat dan krim keju mengikut selera masing-masing.
“Selain itu kemahiran tersebut diguna untuk menghasilkan roti Jala Jelita berbentuk kek bagi tujuan sambutan hari jadi anak saya sebelum ia diketahui oleh ahli keluarga rakan-rakan yang kemudiannya memohon bantuan menghasilkan roti itu untuk mereka.
“Disebabkan oleh itu roti Jala Jelita buatan saya mula menjadi popular dalam kalangan rakan-rakan yang mula menyedari kelembutan tekstur dan keenakan rasanya yang diperbaharui oleh saya bersama cikgu Huda,” kata Junaiza.
Beliau yang memiliki Sijil Kemahiran Level 3 dalam bidang Terapi Kecantikan itu memberitahu sudah mula berkongsi mengenai hasil pembuatan roti berkenaan bersama sanak saudara dan kaum ‘mama’ di netizen.
“Kelebihan menarik yang dimiliki oleh roti Jala Jelita adalah ia boleh digubah dalam pelbagai jenis bentuk dan hiasan mengikut kreativiti masing-masing.
“Ini mendorong saya untuk terus belajar mempertingkatkan kualiti dan kepelbagaian reka bentuk serta warna roti Jala Jelita dengan harapan agar ia dapat dijadikan sebagai satu perniagaan baharu buat kaum ‘mama’ seperti saya pada masa sekarang,” kata beliau.
Junaiza turut memberitahu beliau kini masih memberi fokus terhadap perniagaan HomeSpa di Kampung Muhibbah walaupun ia masih tidak dibenarkan beroperasi ekoran penguatkuasaan PKP pada masa sekarang.
“Buat masa kini penghasilan roti Jala Jelita hanya masih menjadi hobi saya di rumah. Bagaimanapun saya tidak akan berat tangan untuk membantu menghasilkan hidangan itu jika ada kenalan yang berminat untuk mendapatkan roti berkenaan,” katanya.
Beliau melahirkan rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada cikgu Huda kerana berkongsi resepi roti Jala Jelita tersebut dan juga kepada ahli keluarga yang menyokongnya bagi menghasilkan hidangan itu.
“Saya mengajak seluruh kaum ‘mama’ agar mempelajari cara pembuatan roti Jala Jelita secara atas talian untuk dijadikan sebagai hobi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP dahulu,” tambah Junaiza. Para netizen terutama sekali kaum ibu yang berminat untuk berkongsi hobi penghasilan roti Jala Jelita berkenaan boleh berbuat demikian dengan melayari akaun Facebook miliknya bernama June ILhan Rizqi.
Oleh VALENTINE NGUMBANG