ASUNCION (Paraguay), 7 November: Presiden Paraguay yang digulingkan, Santiago Pena, dikenakan tahanan rumah pada Jumaat kerana disyaki melakukan pecah amanah, tidak lama selepas Senat menyingkirkan beliau daripada jawatan susulan kegagalan sebuah bank utama yang mempunyai kaitan dengan kerajaannya, lapor Associated Press (AP).
Kesemua 44 senator yang hadir mengundi untuk menyingkirkan Pena daripada jawatannya atas salah laku semasa memegang jawatan. Beliau menjadi presiden Paraguay kedua yang disingkirkan menerusi proses pendakwaan sejak negara itu kembali mengamalkan demokrasi pada 1989.
Keputusan itu dibuat tiga hari selepas pihak berkuasa kawal selia mengambil alih Ueno Bank, menyebabkan hampir separuh daripada lebih enam juta penduduk Paraguay tidak dapat mengakses wang simpanan atau menggunakan kad bank mereka, sekali gus mencetuskan krisis politik terburuk di negara itu dalam tempoh lebih sedekad.
Pihak pendakwa raya mengarahkan Pena ditahan di kediamannya sehingga beliau hadir di hadapan unit jenayah ekonomi pada Sabtu.
“Kami telah mengesahkan keberadaan beliau dan kesediaannya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi semua prosiding undang-undang,” kata Silvia Gonzalez, seorang daripada pendakwa raya yang mengetuai kes itu.
Kesalahan pecah amanah boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau sehingga 10 tahun bagi kes serius.- Bernama-AP




