GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan akan memberikan tumpuan khas kepada sektor pelancongan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentang hujung bulan ini, untuk membantu sektor itu pulih semula selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, industri pelancongan merupakan satu-satunya industri yang paling terjejas dengan pandemik dan paling lambat untuk pulih semula.
Menurutnya, sektor pelancongan adalah penting dan merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Belanjawan 2022 akan memberikan fokus kepada pemain-pemain sektor pelancongan untuk membantu mereka bangun semula selepas terkesan dengan pandemik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus bersama peneraju-peneraju sektor pelancongan Pulau Pinang di sini, baru-baru ini.
Antara cabaran utama yang dibangkitkan oleh para pemain industri pelancongan tersebut adalah masalah modal kerja atau aliran tunai kerana mereka telah begitu lama tidak dibenarkan beroperasi.
Terdahulu, Zafrul yang mengadakan jelajah Belanjawan di Pulau Pinang hari ini telah melawat kilang Intel Malaysia, mengadakan sesi “Focus Group” bersama peneraju industri elektrik dan elektronik sebelum mengadakan mesyuarat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Zafrul berkata, kerajaan akan terus mendengar suara-suara rakyat dan industri dalam menyediakan Belanjawan 2022 agar ia dapat memberi manfaat kepada semua.
“Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM10 bilion untuk Pulau Pinang yang memanfaatkan 655,000 penduduk dan 106,000 peniagaan di Pulau Pinang sehingga September tahun ini,” katanya.
Selain itu, pihaknya akan terus berkerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementeri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mengatasi masalah kekurang tenaga kerja mahir dalam sektor pembuatan.
Katanya, walaupun sektor pembuatan merupakan sektor yang mencatatkan peningkatan yang positif dalam tempoh enam bulan tahun ini, mereka masih menghadapi masalah tenaga kerja mahir.
“Ini adalah isu yang kita perlu terus tangani jika kita mahu menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) …mereka melabur bukan semata-mata pemberian insentif tetapi disebabkan individu serta tenaga kerja berkemahiran yang sedia ada di Malaysia,” katanya.
Belanjawan 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021- Bernama