Mahkamah tolak permohonan Caprice gantung pembayaran ganti rugi kepada Ebit Lew

Facebook
WhatsApp
CAPRICE atau nama sebenarnya Ariz Ramli, yang permohonannya untuk menggantung pembayaran ganti rugi RM220,000 kepada pendakwah Ebit Lew ditolak Mahkamah Sesyen hari ini. Foto Agensi

SHAH ALAM, 2 November: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pempengaruh media sosial Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli untuk menggantung pembayaran ganti rugi RM220,000 kepada pendakwah Ebit Lew berhubung kes fitnah pada 2023.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Ariz, 40, yang difailkan pada Ogos lepas berhubung keputusan mahkamah dalam saman yang dikemukakan Ebit terhadap tujuh kenyataan berunsur fitnah menerusi audio siar dan klip video yang diterbitkan Caprice sebelum ini.

Mahkamah turut memerintahkan Caprice membayar kos sebanyak RM2,000.

Pada prosiding itu, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Fatin Izyan Mazlan, manakala Caprice diwakili Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal.

Pada 17 Ogos lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Caprice memohon maaf serta membayar ganti rugi dan kos berjumlah RM220,000 kepada Ebit berhubung kes fitnah itu.

Mahkamah ketika itu memerintahkan Caprice selaku defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM50,000, ganti rugi teladan RM50,000, ganti rugi pampasan RM50,000, ganti rugi teruk RM50,000 serta kos RM20,000.

Zuhrina membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan Ebit selaku plaintif.

Beliau turut memerintahkan Caprice mengemukakan permohonan maaf kepada Ebit dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dimeterai. Permohonan maaf itu perlu dimuat naik, disiarkan, diterbitkan, diedarkan atau dihebahkan menerusi mana-mana laman media sosial di bawah kawalan, pengawasan atau jagaan Caprice.

Pada 29 September 2023, Ebit memfailkan saman dengan mendakwa rakaman yang diterbitkan defendan, antara lain, membawa maksud bahawa beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan, selain menggambarkannya sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama. – Bernama