BAU, 30 Oktober: Beberapa individu dikenakan hukuman denda dan penjara atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan berkaitan hiburan, kecurian, ugutan jenayah serta kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, selepas prosiding mahkamah berlangsung di Mahkamah Majistret Bau pada 29 dan 30 Oktober.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, sebanyak 13 kes dibawa ke mahkamah, dengan beberapa orang tertuduh mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda atau penjara, manakala kes-kes lain ditetapkan untuk prosiding selanjutnya.
Beliau berkata, seorang individu didenda RM2,500, atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, atas kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2000. Denda berkenaan telah dibayar.
Dalam satu lagi kes, seorang individu didenda RM2,000, atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, di bawah Seksyen 7(2) Akta Pengangkutan Jalan 1953. Denda tersebut telah dibayar.
Dua individu lain masing-masing didenda RM2,000 dan RM2,500, atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, atas kesalahan di bawah akta yang sama. Kedua-dua denda telah dijelaskan.
Sementara itu, seorang individu dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan bermula 30 Oktober atas kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
Seorang lagi individu dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan bermula 29 Oktober atas kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan berkaitan kecurian dalam bangunan.
Dalam kes berasingan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, seorang individu didenda RM3,000, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Bagaimanapun, denda tersebut tidak dibayar.
Bagi satu kes kecurian di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000. Wang jaminan tersebut belum dibayar, manakala pengurusan kes pra-perbicaraan ditetapkan pada 26 November.
Dua individu yang turut didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan juga mengaku tidak bersalah, dengan pengurusan kes pra-perbicaraan ditetapkan pada 26 November.
Dalam satu lagi kes, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan bermula 30 Julai atas kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Mohd Haide berkata, seorang tertuduh gagal hadir ke mahkamah bagi kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan, menyebabkan kes tersebut dibatalkan. Seorang lagi tertuduh tidak hadir selepas pihak mahkamah terlepas pandang untuk mengeluarkan notis yang diperlukan, dan kes itu ditetapkan semula untuk sebutan pada 27 November.
Dua lagi kes berkaitan ugutan jenayah dirujuk ke Hospital Kota Sentosa, dengan seorang tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan, manakala seorang lagi ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 November.
Beliau berkata, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin di hadapan Majistret Bau, Ling Hui Chuan.
Oleh Connie Chieng





