Kualiti udara Samalaju bertambah baik, IPU turun kepada 94

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 27 Oktober: Kualiti udara di Samalaju menunjukkan peningkatan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun kepada 94 setakat 8.00 malam ini berbanding 110 pada 4.00 petang tadi.

Penurunan sebanyak 16 mata itu menyaksikan status kualiti udara di kawasan berkenaan berubah daripada kategori tidak sihat kepada sederhana.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), semua kawasan yang disenaraikan di Sarawak kini mencatatkan bacaan IPU dalam kategori sederhana atau baik.

Bintulu merekodkan bacaan IPU 80 berbanding 91 pada 4.00 petang, manakala Belaga menurun kepada 79 daripada 87 dan Serian kepada 75 daripada 80.

Kuching dan Samarahan masing-masing mencatatkan bacaan 75 dan 74, berbanding 76 bagi kedua-dua kawasan pada 4.00 petang tadi.

Sibu pula merekodkan bacaan 69 berbanding 74, diikuti Sarikei (65), Mukah (61), Kapit (60), Miri (59), Lundu (69), Kanowit (69), Tebedu (73), Lubok Antu (67), Sri Aman (73), ILP Miri (55), Limbang (52) dan Lawas (55).

Sementara itu, Betong mencatatkan bacaan IPU 83 berdasarkan pemantauan menggunakan kaedah Pemantauan Kualiti Udara Bergerak Berterusan (MCAQM).

Bario kekal merekodkan kualiti udara baik dengan bacaan IPU 23.

Berdasarkan pengelasan IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 tidak sihat.

Orang ramai disaran supaya terus memantau perkembangan kualiti udara dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak di luar sekiranya mengalami ketidakselesaan akibat keadaan udara.

IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan. Maklumat terkini mengenai kualiti udara boleh diperoleh melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar.

Oleh Shikin Mahmud