KUALA LUMPUR, 27 Oktober: Subsidi dan bantuan tunai kerajaan bukan bertujuan memanjakan rakyat atau menggalakkan kebergantungan berterusan, sebaliknya berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial bagi melindungi kuasa beli dan menstabilkan ekonomi ketika kos sara hidup meningkat.
Pakar berpandangan bantuan seperti subsidi petrol, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) perlu dilihat melangkaui manfaat kewangan kepada penerima kerana turut membantu mengekang tekanan harga dan menyokong perbelanjaan pengguna.
Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan berkata tidak timbul istilah memanjakan rakyat dalam konsep pemberian subsidi mahupun bantuan tunai, sebaliknya mekanisme itu memainkan peranan penting mengawal inflasi, mengurangkan perbelanjaan pengguna, malah membantu mengawal kesan kenaikan harga bahan api terhadap kos barangan dan perkhidmatan lain.
“Dengan mengawal harga bahan api, ia membolehkan nilai wang dipegang rakyat tidak susut cepat kerana apabila petrol naik, ia akan berkait dengan peningkatan kos barangan. Kita kena lihat subsidi, bantuan tunai bukan hanya memberi ‘ikan’ tetapi dalam skop lebih besar, ia membantu mengawal, menstabilkan harga produk.
“Secara keseluruhannya, subsidi di Malaysia adalah mengawal inflasi dengan menetapkan harga siling untuk barang asas seperti beras, minyak masak sekali gus menghalang harga pasaran melambung tinggi apabila kos global meningkat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pendekatan subsidi turut diamalkan negara lain termasuk United Kingdom bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos utiliti seperti elektrik, khususnya ketika keadaan ekonomi mendesak.
Azmi berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menggesa kerajaan mengurangkan bantuan tunai dan memberi lebih tumpuan kepada usaha memperkasakan rakyat menjana pendapatan sendiri.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, Nik Muhammad Zawawi berpandangan peruntukan kerajaan sepatutnya lebih menjurus kepada penyediaan peralatan dan kelengkapan yang membolehkan rakyat bekerja serta meningkatkan taraf hidup dalam jangka panjang.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata pemberian bantuan tunai tidak seharusnya dikaitkan dengan sikap malas atau terlalu bergantung kepada kerajaan kerana ramai penerimanya sebenarnya bekerja, namun pendapatan mereka masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas.
Beliau berkata golongan seperti pekerja gig, petani dan buruh bergaji minimum antara yang berdepan tekanan kos sara hidup meskipun mempunyai sumber pendapatan.
“Pelabelan negatif terhadap penerima subsidi seperti tanggapan ‘malas’ atau ‘terlalu bergantung kepada kerajaan’ memberi impak psikososial dan struktur yang mendalam terhadap golongan rentan. Apabila bantuan disinonimkan dengan kegagalan peribadi, penerima berasa kerdil, malu dan hilang keyakinan diri.
“Stigma sosial menyebabkan segelintir individu atau keluarga yang sangat terdesak memilih untuk tidak memohon bantuan yang sah demi mengelak pandangan serong komuniti. Fenomena ini memburukkan lagi kemiskinan tegar yang tersembunyi (hidden poverty),” katanya.
Mazlan yang juga Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata perbahasan mengenai subsidi perlu mengambil kira realiti kehidupan penerima dan tidak terperangkap dalam polemik politik mengenai jumlah bantuan semata-mata.
Beliau berkata persoalan lebih penting ialah sejauh mana bantuan kerajaan dapat melindungi golongan rentan daripada tekanan ekonomi, di samping membuka ruang kepada mereka memperbaiki taraf hidup.
Mazlan berkata perbahasan mengenai subsidi perlu beralih daripada persoalan berapa banyak bantuan diberikan kepada sejauh mana bantuan itu mampu meningkatkan taraf hidup dan mobiliti sosial rakyat, bagi memastikan dasar kebajikan tidak sekadar menjadi alat retorik politik. – Bernama





