DITEWASKAN 2-0 oleh Terengganu FC dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Piala Malaysia Ahad lalu telah memberi tamparan hebat buat Kuching City FC.
Justeru, pengendali The Cats Irfan Bakti Abu Salim yakin anak didiknya akan bangkit dalam perlawanan seterusnya menentang Perak FC malam ini dan mahu kembali berada di landasan memburu tiket ke peringkat kalah mati.
Katanya, meski Kuching City tidak mampu melakukan kejutan pada aksi sulung itu, namun ia tidak bermakna pasukannya berada dalam keadaan yang ‘teruk’ berdepan Perak FC nanti.
Tambahnya lagi, walaupun berstatus pasukan Liga Premier berdepan dengan skuad yang berada pada ranking lebih baik, tetapi anak-anak buahnya tidak gentar malah bukan ‘lubuk’ gol buat pasukan lawan lebih-lebih lagi pemainnya mampu menghabiskan perlawanan dengan semangat melawan yang tinggi.
“Aksi pada Ahad lalu bukan hari kami. Kami perlu lakukan yang lebih baik, berdepan detik sukar menentang pasukan-pasukan terbaik liga.
“Namun saya yakin ia tidak melemahkan semangat pemain kembali bangkit pada perlawanan lain selepas ini,” katanya.
Irfan turut menggesa kepada semua pemain agar melupakan episod kekalahan aksi sebelum ini dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap perlawanan menentang Perak FC di Stadium Pasir Gudang.
“Atas kertas kami menghormati skuad Liga Super itu, namun misi kami tetap membara untuk memburu kemenangan sekali gus melakukan kejutan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.
“Strategi berbeza berbanding ketika bertemu Terengganu FC dirancang, namun pada masa sama kita juga perlu berwaspada bagi mengelak dijerat kerana pasukan lawan turut berazam mengutip tiga mata selepas tumpas 1-0 pada aksi pertama berdepan Selangor FC tempoh hari.
“Saya harapkan barisan pemain yang diturunkan nanti dapat menyaingi kekuatan pemain lawan selain menuntut jentera tengah lebih kreatif mencipta gerakan manakala barisan penyerang dapat memanfaatkan peluang dengan jaringan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Irfan mendedahkan bahawa beliau tidak menyasarkan untuk melangkah lebih jauh dalam saingan paling berprestij di Malaysia edisi ke-100 itu kerana sedar kemampuan pasukannya.
“Kami layak beraksi di pentas Piala Malaysia ini pun sudah menjadi satu kebanggaan, malah lebih bangga berada dalam satu kumpulan dengan Terengganu FC yang dibimbing Nafuzi Zain yang pernah bersama dengan saya sebelum ini.
“Jadi kini kami fokus untuk habiskan enam perlawanan peringkat kumpulan dengan keputusan terbaik sebagai persediaan musim depan,”tegasnya.
Oleh ADI SAFARMAN