KUCHING: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah dirangka dengan cukup teliti dengan hala tuju cukup jelas ke arah mempersiap siagakan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup lebih baik pada masa akan datang.
Demikian pandangan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan media semalam berhubung pembentangan RMK-12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob semasa Persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin lalu.
Katanya, beliau percaya perancangan dan inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri terbabit dapat membantu memperkasakan rakyat dan negara dalam mendepani apa juga cabaran mendatang.
“Tahniah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob atas pembentangan rancangan lima tahun yang mantap dan inklusif, menyantuni seluruh Keluarga Malaysia tanpa mahu ada yang terpinggir daripada menikmati pembangunan menyeluruh yang disasarkan,” katanya.
Menurut Fadillah, kementeriannya juga komited meneruskan agenda kerajaan iaitu memfokuskan kepada projek berkepentingan rakyat pasca-pandemik bagi lima tahun akan datang terutama ke arah mempertingkatkan infrastruktur, merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Katanya, kesinambungan projek jalan raya berpaksikan rakyat akan terus diberi perhatian demi keselesaan dan keselamatan Keluarga Malaysia dengan mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian.
“Antara projek yang terlibat di Semenanjung Malaysia termasuk Projek Lebuhraya Pantai Barat melibatkan Selangor dan Perak yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024, Projek Jalan Central Spine dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025 dan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
“Manakala bagi Sarawak pula, fokus utama semestinya menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo selain meneruskan projek infra lain, antaranya Projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 1,” ujarnya.
Tambah Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, bagi Projek Pan Borneo Sarawak Fasa 1 kemajuan setakat ini telah mencapai 71 peratus siap dan jangkaan paling awal siap sepenuhnya pada akhir 2022 sementara Projek Pan Borneo Sabah pula daripada kesemua 35 pakej dalam Fasa 1 hanya 12 pakej yang sedang dalam pelaksanaan.
Setakat ini dedahnya, kemajuan keseluruhan 12 pakej tersebut adalah sekitar 56 peratus dan dijangka siap pada akhir 2023 manakala pakej-pakej selebihnya dalam Fasa 1 iaitu sebanyak 23 pakej lagi akan dilaksanakan apabila peruntukan disediakan.
Dalam pada itu kata Fadillah, sehingga 21 Ogos 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membelanjakan sebanyak RM2,904 juta bersamaan 54.3 peratus peruntukan perbelanjaan pembangunan.
Malah katanya, beliau turut komited memastikan penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.
Menurut beliau lagi, Sarawak dan Sabah yang masih ketinggalan juga akan diberi perhatian dalam RMK-12 apabila Fokus Ketujuh daripada Sembilan Fokus RMK-12 adalah Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun.
“Terima kasih YAB Perdana Menteri di atas komitmen yang diberikan bagi menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta jaminan pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMKe-12.
“Komitmen pucuk kepimpinan negara dalam RMK-12 untuk mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah serta antara bandar dan luar bandar selain melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak membuktikan komitmen Kerajaan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Oleh SYAMIMI HUSNA