KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) yang telah berakhir Isnin lalu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan semalam berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa puas hati dan sukacita dapat bertemu diaspora Malaysia di UK kerana ia merupakan peluang penting bagi Seri Paduka mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat walau di mana mereka berada.
“Sesi pertemuan diaspora Malaysia di UK telah dibahagikan kepada dua, yang pertama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada 24 September dan kedua di The Shire, London pada 26 September Sesi di The Shire, London turut melibatkan kehadiran rakyat Malaysia yang berada di luar ibu kota London, termasuk dari Liverpool, Manchester dan Wales.
“Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia dan agensi kerajaan Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan serta pelaburan di negara itu,” katanya.
Lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke UK itu bermula 17 hingga 26 September dan kemudiannya Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September.
Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula 9 Disember 2019.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata dalam lawatan khas itu, Seri Paduka telah berkenan melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, Hertford.
Ahmad Fadil berkata dalam lawatan khas itu juga, Seri Paduka turut telah berkenan menerima kunjungan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan di London.
Pertemuan itu menyentuh hubungan dua hala dan peningkatan kerjasama dalam beberapa bidang yang berkaitan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 1978 dan 1979 dan persahabatan akrab mereka kekal hingga sekarang,” katanya.
Pada Mac lepas, Petronas menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Masdar yang berpangkalan di UAE untuk meneruskan kerjasama dalam rantaian nilai tenaga.
Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong dijadualkan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter hari ini (29 September) dengan pertemuan itu menyentuh hubungan kerjasama pertahanan Malaysia dan UK. – Bernama