Penerimaan pelancongan Sarawak kekal memberangsangkan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) dan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah (tengah) ketika merasmikan Festival Kraf Borneo bersempena Regata Perahu Naga Antarabangsa 2026, di Tebingan Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 23 Oktober: Penerimaan pelancongan Sarawak yang melebihi RM1 bilion sebulan dari Januari hingga September tahun ini kekal memberangsangkan meskipun sasaran lima juta pelawat bagi 2026 masih belum pasti dapat dicapai.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, prestasi penerimaan pelancongan yang menggalakkan memberikan petunjuk positif terhadap industri pelancongan negeri walaupun jumlah ketibaan pelawat berdepan ketidaktentuan.

“Tiap-tiap bulan daripada Januari sehingga September melebihi RM1 bilion. Penerimaan pelancongan itu amat bagus sekali,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Regata Perahu Naga Antarabangsa 2026 dan Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching.

“Pengunjung yang datang untuk menghadiri persidangan dan acara antarabangsa lazimnya terdiri daripada golongan yang berbelanja lebih, sekali gus menyumbang kepada penerimaan pelancongan negeri,” ujarnya. 

Beliau berkata, pada awalnya sasaran lima juta pelawat dilihat sukar dicapai, namun perkembangan selepas September memberikannya keyakinan bahawa sasaran itu masih berpotensi dicapai menjelang akhir tahun.

Abdul Karim mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyempurnakan upacara perasmian Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak edisi ke-12 dan Regata Sarawak 2026, yang turut diserikan dengan Festival Kraf Borneo Sarawak 2026, Festival Gendang Melayu Sarawak dan Showcase Usahawan Sarawak. 

Kejohanan perahu naga antarabangsa itu berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November, dengan penyertaan 80 pasukan melibatkan 2,450 peserta dari 22 negara, menurut bahan maklumat penganjur.

Edisi tahun ini turut menyaksikan penyertaan tujuh negara baharu, iaitu Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico.

Sementara itu, perlumbaan tradisional Sarawak Regatta dijadual berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November, melibatkan 18 acara dalam kategori tempatan dan terbuka.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, dan dua Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan. 

Oleh Adele Rissa