BINTULU, 23 Oktober: Pembentukan persekitaran sekolah yang selamat perlu berjalan seiring dengan usaha meningkatkan kemudahan pendidikan bagi memastikan pelajar dapat belajar dan guru melaksanakan tugas dalam suasana yang kondusif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah berperanan membentuk sikap saling menghormati, keupayaan mengawal emosi dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, pelajar perlu dididik menyelesaikan perselisihan secara baik serta memahami kepentingan mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah.
“Sekolah yang benar-benar baik adalah tempat di mana pelajar berasa selamat untuk belajar, guru berasa selamat untuk mengajar dan semua orang saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis apresiasi Jalinan Strategik dan Penyerahan Beg Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu di sini, hari ini.

Johnny Pang berkata, insiden keselamatan di sebuah sekolah di Kuching baru-baru ini yang mengakibatkan seorang guru cedera turut mengingatkan masyarakat tentang kepentingan menangani masalah tanpa keganasan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian mengenai punca kejadian berkenaan kerana siasatan polis masih berjalan.
Beliau turut menggalakkan pelajar supaya mengambil berat terhadap rakan yang menunjukkan tanda-tanda menghadapi kesukaran dan membantu mereka mendapatkan sokongan daripada guru, kaunselor atau keluarga.
Dalam pada itu, Johnny Pang berkata, usaha menyediakan kemudahan sekolah yang lebih baik juga perlu diteruskan menerusi kerjasama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta agensi berkaitan.
Antara penambahbaikan di SMK Bandar Bintulu sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk kemudahan parkir di pintu masuk sekolah, pembukaan pintu masuk kedua dan pemasangan Smart TV di beberapa bilik darjah.
Beliau berkata, pembangunan pendidikan yang menyeluruh perlu menggabungkan kemudahan pembelajaran yang sesuai dengan pembentukan nilai murni supaya pelajar dapat berkembang dalam persekitaran yang selamat dan saling menghormati.
Pada majlis itu, sebanyak 606 beg sekolah diagihkan kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam SMK Bandar Bintulu sebagai tanda sokongan dan galakan untuk meningkatkan semangat mereka dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Oleh Carolyne Utih





