PRN Sarawak: PBB beri bayangan akan ada pertambahan calon wanita

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri ditemu bual selepas menyertai rakaman program Ruang Bicara bertajuk Keluarga Sejahtera: Kasih Terpelihara, Penjagaan Diperkasa di Wisma Bernama hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Oktober: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi bayangan akan ada pertambahan calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.

Naib Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Nancy Shukri berkata Ketua Penerangan PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan terdapat calon baharu yang akan diketengahkan pada pilihan raya berkenaan, termasuk wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata beliau sememangnya berharap lebih ramai wanita diberi peluang untuk bertanding pada PRN itu.

“Saya hanya dapat bercakap dan membawa hasrat supaya lebih ramai wanita diketengahkan, tetapi tadi saya dengar beliau (Abdul Karim) sudah berkongsi dengan media, mungkin itulah keadaannya.

“Ada yang baharu, katanya dalam 10 peratus (calon baharu) dan antaranya ada wanita,” katanya ketika ditemui selepas rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama hari ini.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah menyuarakan hasrat untuk melihat lebih ramai wanita diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya akan datang bagi meningkatkan perwakilan golongan itu dalam politik.

Bagaimanapun, Fatimah berkata keputusan pemilihan calon adalah hak Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku peneraju Gabungan Parti Sarawak (GPS), setelah meneliti pelbagai faktor termasuk kaliber, merit dan kemampuan memenangi kerusi.

Ketika ini, hanya lima daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak disandang oleh wanita.- Bernama