KUCHING, 22 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai, termasuk pengamal media, supaya menghentikan penyebaran rakaman video insiden melibatkan senjata berbahaya di sebuah sekolah di Kuching.
MCMC menegaskan bahawa tindakan memuat naik, berkongsi atau menyebarkan rakaman yang memaparkan unsur keganasan, khususnya melibatkan kanak-kanak, boleh menjejaskan privasi, maruah dan kesejahteraan emosi individu terlibat serta keluarga mereka.
Menurut suruhanjaya itu, tindakan mendedahkan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
“Penyebaran kandungan sedemikian juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), sekiranya melanggar peruntukan undang-undang berkenaan,” menurut kenyataan media MCMC yang dikeluarkan di Cyberjaya, hari ini.
Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan penyedia platform media sosial bagi menangani penyebaran rakaman berkenaan, termasuk mengambil langkah menurunkan kandungan berkaitan.
MCMC turut menggesa individu yang telah memuat naik atau berkongsi rakaman tersebut supaya segera memadamkannya.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan semula kandungan berkenaan bagi melindungi privasi kanak-kanak dan mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
MCMC menekankan kepentingan orang ramai dan pengamal media supaya bertanggungjawab dalam mengendalikan serta menyebarkan kandungan berkaitan insiden berkenaan, khususnya apabila melibatkan keselamatan dan identiti kanak-kanak.




