SERAMAI 25 bakal jurulatih dari sekitar negeri ini telahpun mengesahkan diri untuk menyertai Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM (Lesen D) 2021.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Saif Jubaidi berkata kursus kejurulatihan tersebut akan bermula pada 27 September hingga 2 Oktober yang akan diadakan di Stadium Bandaraya Miri.
Beliau berkata sejumlah 25 kouta bagi bakal jurulatih yang menyertai kursus ini telahpun penuh diisi yang terdiri daripada peserta di dari bahagian Miri, Bintulu, Mukah serta beberapa kawasan pedalaman sekitarnya.
“Kouta ditetapkan (25 orang) sudahpun penuh dan kita tidak menjangka sambutan begitu hebat sekali diterima,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Saif yang juga Pengerusi Pembangunan Bola Sepak Sarawak berkata insruktur Kursus Kejurulatihan ini akan dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman iaitu Wan Jamak Wan Hassan dengan dibantu oleh Pengiran Bala.
“Kedua-dua individu ini mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan dan nama mereka tidak asing dalam kancah bola sepak tempatan,” ujarnya.
Saif menambah program ini adalah penting bagi melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan terutama di bahagian utara Sarawak.
“Pada masa sama, dengan kerjasama diantara FAS dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dalam misi memperbanyakkan aktiviti dan kursus kejurulatihan di negeri ini.
“Ini adalah selaras dengan tujuan dan matlamat ke arah persediaan jurulatih untuk di tempatkan di bawah aktiviti dan program-program pembangunan SSC pada masa akan datang,” ujarnya.
Selain itu Saif berkata, FAS juga akan memastikan program-program seperti ini terus dijalankan di bahagian tengah dan selatan Sarawak.
Menurutnya, program seperti ini telah lama dirancang bersama pihak SSC sepanjang tahun ini dan telah mendapat kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Namun, keadaan pandemik Covid-19 semasa menyebabkan pihak kami terpaksa akur untuk menangguhkan banyak aktiviti pembangunan yang telah dirancang sejak awal tahun lagi,” tambahnya.
Saif pada masa sama memberitahu, kursus seumpama itu akan turut dilaksanakan di beberapa zon lain pada masa akan datang.
“Segalanya bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19 sebelum dapat memutuskan tarikh dan lokasi bagi penganjuran kursus berkenaan,” jelasnya.
Katanya, perancangan pihaknya untuk cuba melaksanakan kursus seumpama itu di zon tengah dengan Bahagian Sri Aman dan Sarikei berada dalam radar pihaknya sebagai tuan rumah.
Oleh ADI SAFARMAN