Abang Johari wakilkan Abdul Karim upacara menitik mata naga, petanda pengumuman pembubaran DUN?

Facebook
WhatsApp
PETUNJUK… Abdul Karim tidak menolak kemungkinan pengumuman berkaitan pembubaran DUN Sarawak, namun belum mengesahkan sebarang tarikh atau keputusan rasmi.

KUCHING, 22 Oktober: Selepas empat tahun berturut-turut menyempurnakan upacara menitik mata naga sempena Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kali ini akan diwakili Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis berkenaan esok.

Perubahan itu menarik perhatian ketika spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13 semakin hangat.

Abdul Karim, yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, mengesahkan beliau telah diminta oleh Premier Sarawak untuk mewakilinya pada majlis berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 3.00 petang esok.

Berdasarkan pemerhatian penulis yang membuat liputan acara berkenaan setiap tahun sejak 2022, Abang Johari tidak pernah terlepas menyempurnakan upacara menitik mata naga pada edisi 2022, 2023, 2024 dan 2025.

Justeru, keputusan beliau untuk mewakilkan Abdul Karim pada majlis tahun ini dilihat sebagai perkembangan berbeza berbanding empat edisi terdahulu, sekali gus menimbulkan persoalan dalam suasana spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran DUN Sarawak.

Ditanya mengenai kemungkinan pengumuman berkaitan pembubaran DUN, Abdul Karim tidak menolak kemungkinan tersebut, sambil memberi bayangan bahawa perkembangan berkenaan mungkin hadir dalam bentuk pengumuman dan bukannya mesyuarat.

“Mengikut pandangan saya, mungkin ada. Ia mungkin bukan mesyuarat, tetapi satu pengumuman,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perkara itu berkemungkinan berlaku, beliau menjawab ringkas,“Mungkin.”

Bagaimanapun, Abdul Karim tidak mengesahkan sama ada pengumuman berkenaan akan dibuat esok atau sama ada keputusan Premier untuk mewakilkannya pada majlis itu mempunyai kaitan dengan perkembangan politik berkenaan.

Mengulas kemungkinan mesyuarat Gabungan Parti Sarawak (GPS) diadakan esok, beliau berkata beliau mengetahui mengenai kemungkinan adanya mesyuarat, namun tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana mesyuarat di peringkat berkenaan lazimnya melibatkan presiden dan setiausaha empat parti komponennya.

“Saya kurang pasti sama ada mesyuarat GPS akan diadakan kerana mesyuarat peringkat itu biasanya hanya melibatkan presiden dan setiausaha daripada keempat-empat parti komponen,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau bukan presiden atau setiausaha parti, justeru tidak mempunyai maklumat tepat mengenai urusan mesyuarat berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata urusan berkaitan penetapan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran DUN dimaklumkan secara rasmi.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman dalam politik, tempoh berkempen bagi pilihan raya lazimnya berlangsung selama dua minggu, meskipun tempoh sebenar tertakluk kepada keputusan SPR.

Sehingga kini, tiada pengumuman rasmi mengenai tarikh pembubaran DUN Sarawak bagi memberi laluan kepada PRN Ke-13.

Oleh Shahrul Qaizat