PETRA JAYA, 22 Oktober: Teknologi pengeringan menggunakan mesin ProFish Dryer dimanfaatkan untuk menghasilkan yogurt dabai serta snek daripada pelbagai buah-buahan tempatan, sekali gus mempelbagaikan produk berasaskan hasil pertanian Sarawak.
Khamis Unting dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Meradong berkata, teknologi itu digunakan untuk memproses dabai yang dicampurkan dengan yogurt dan susu sebelum melalui proses pengeringan selama kira-kira 24 jam.

Beliau berkongsi mengenai kaedah pemprosesan tersebut ketika ditemui pada Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan, Produk Ternakan dan Agromakanan Tempatan di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Menurutnya, mesin berkapasiti 10 kilogram itu digunakan bagi menghasilkan produk akhir melalui proses pengeringan yang mengambil masa kira-kira sehari.
Selain yogurt dabai, kaedah sama turut digunakan untuk memproses pisang, durian, nangka dan nanas menjadi snek buah-buahan.

Khamis berkata, produk buah-buahan berkenaan diproses tanpa campuran bahan tambahan lain, berbeza dengan yogurt dabai yang menggunakan campuran yogurt dan susu.
Menurutnya, penggunaan teknologi tersebut membantu mengekalkan warna dan aroma asal buah-buahan, sekali gus menghasilkan produk yang mengekalkan ciri tersendiri bahan mentah berkenaan.
“Untuk produk buah-buahan ini, kita tidak mencampurkan bahan lain. Kita hanya mengupas buah, memasukkannya ke dalam mesin dan menjalankan proses pengeringan selama kira-kira 24 jam,” katanya.

“Untuk produk buah-buahan ini, kita tidak mencampurkan bahan lain. Kita hanya mengupas buah, memasukkannya ke dalam mesin dan menjalankan proses pengeringan selama kira-kira 24 jam”.
“Jadi, kenapa kita menggunakan metodologi ini sebab kita boleh kekalkan dia punya rasa buah. Kita boleh kekalkan dia punya warna dan aroma,”katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi berkenaan membolehkan hasil tempatan diproses menjadi produk alternatif selain dimakan dalam bentuk segar.
Pengenalan produk itu pada kempen berkenaan turut memperlihatkan kepelbagaian kaedah pemprosesan yang boleh dimanfaatkan untuk mengetengahkan buah-buahan tempatan kepada pengguna.
Kempen tersebut dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat mengutamakan buah-buahan, produk ternakan dan agromakanan tempatan, selain menyokong petani, penternak serta pengusaha agromakanan Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud





