KUCHING, 22 Oktober: Penduduk Skim Penempatan Semula Stampin bakal mendapat manfaat daripada sistem perparitan yang lebih baik menerusi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM87 juta bagi meningkatkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata kerja Fasa Satu akan memberi tumpuan kepada penaiktarafan saliran utama sebelum saliran di lorong-lorong kecil disambungkan bagi memastikan air dapat mengalir keluar dengan lebih berkesan.
“Kalau kita buat saliran kecil dahulu, air masih tidak dapat mengalir ke saliran utama,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Projek RTB Skim Penempatan Semula Stampin di sini.

Projek itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penduduk daripada kira-kira 1,000 isi rumah, dengan tempoh pelaksanaan dianggarkan selama 30 bulan.
Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata tempoh pelaksanaan itu mengambil kira keadaan kawasan perumahan sedia ada yang mempunyai rumah serta rangkaian utiliti, sekali gus memerlukan perancangan teliti bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk sepanjang kerja dijalankan.
Skop projek turut merangkumi penambahbaikan saliran keluar menuju ke Sungai Sarawak bagi meningkatkan aliran air, khususnya ketika hujan lebat.
Bagaimanapun, beberapa saliran di hadapan rumah dan jalan-jalan kecil tidak termasuk dalam Fasa Satu dan akan ditangani menerusi Fasa Dua.
Dr Sim menjelaskan bahawa keberkesanan usaha tebatan banjir bukan hanya bergantung pada pembinaan saliran, tetapi turut dipengaruhi keadaan muka bumi, kecerunan tanah serta laluan keluar air.

Beliau berkata, kolam takungan juga memainkan peranan penting untuk menampung air sementara sebelum dilepaskan secara berperingkat ke sistem saliran, khususnya ketika hujan lebat.
Pelaksanaan projek RTB itu turut melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dalam aspek berkaitan sistem saliran dan pengurusan air.
Dalam perkembangan berkaitan pembangunan kawasan Stampin, Dr Sim berkata jalan baharu yang menghubungkan kawasan berkenaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) membuka peluang kepada pembangunan seterusnya, termasuk cadangan penyediaan tanah bagi perumahan mampu milik.
Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan berkenaan bakal menjadi lokasi baharu Sekolah Menengah Chung Hua No. 4 dalam beberapa tahun akan datang.
Sekolah itu dirancang dibina di kawasan yang lebih luas dan lebih dekat dengan penempatan penduduk, dengan kerajaan Sarawak menyediakan tanah serta peruntukan kewangan bagi pembinaannya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng.
Oleh Afiq Sallehi




