KUCHING, 22 Oktober: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan berkesan, latihan sewajarnya serta sokongan kesihatan mental yang lebih kukuh di sekolah susulan insiden di sebuah sekolah swasta di Kuching, apabila seorang pelajar didakwa menyerang seorang guru dan pelajar lain menggunakan objek tajam.
Beliau berkata insiden yang dibangkitkannya semasa perbahasan Belanjawan 2027 di Parlimen semalam itu sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, guru dan pelajar, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada sekolah benar-benar selamat.
Yii menjelaskan bahawa insiden seumpama itu berkemungkinan berlaku dengan lebih kerap berikutan pendedahan golongan muda yang semakin meluas kepada pengaruh negatif di internet dan media sosial.
Beliau turut memberi perhatian kepada kemungkinan berlakunya “kesan penularan”, apabila laporan grafik serta penyebaran video atau gambar kejadian ganas boleh mendorong individu bermasalah lain meniru perbuatan tersebut.
“Selain SOP, sokongan sewajarnya dan penjagaan kesihatan mental perlu diberikan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mangsa memerlukan sokongan yang sesuai untuk pulih daripada trauma, manakala pelajar yang bertanggungjawab atas kejadian itu perlu menerima psikoterapi yang sewajarnya bagi menangani masalah kemarahan dan isu mendasar yang mungkin menyumbang kepada perbuatan tersebut.
Yii turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan video atau gambar kejadian itu memandangkan golongan bawah umur terlibat.
Katanya, penyebaran kandungan sedemikian boleh menambahkan penderitaan mangsa dan keluarga mereka, selain berpotensi meningkatkan risiko kejadian sama ditiru oleh individu lain.
“Saya tidak mahu melihat suatu hari nanti pengesan logam dipasang di pintu masuk sekolah kita. Namun, memastikan keselamatan sekolah ialah tanggungjawab bersama kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat,” katanya.
Yii menggesa semua pihak supaya bekerjasama bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat belajar dalam persekitaran yang selamat.
Oleh Connie Chieng





