Ella bakal berehat setahun daripada seni selepas menjayakan konsert kemuncak 5 Disember ini

Facebook
WhatsApp
RATU Rock Negara, Ella (dua, kanan) pada sidang media pengumuman konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Sidang Penutup baru-baru ini. Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 21 Oktober: Ratu Rock Malaysia Ella bakal berehat selama setahun daripada kegiatan seni selepas menjayakan konsert kemuncak Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 5 Disember depan bagi memberi tumpuan kepada projek pertanian, khususnya industri sawit, yang diusahakan bersama-sama dengan suaminya. 

Konsert itu merupakan penutup tirai siri jelajah Majlis Tertinggi Rockqueen yang menghimpunkan lebih 70,000 peminat menerusi persembahan di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Singapura dan Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

RATU Rock Negara, Ella membuat persembahan pada sidang media pengumuman konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Sidang Penutup baru-baru ini. Foto BERNAMA

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata konsert itu mencerminkan komitmen penganjur untuk menghasilkan persembahan yang bukan sahaja meraikan legasi seni, tetapi turut meninggalkan kesan bermakna pada masyarakat.

“Bagi Hitman Solutions, setiap konsert yang dianjurkan adalah usaha membawa mesej yang bermakna buat industri muzik tempatan. Sejak awal, kami melihat perjalanan siri Majlis Tertinggi Rockqueen ini sebagai satu fenomena yang wajar diraikan secara besar-besaran hingga kemuncaknya,” katanya kepada pemberita pada sidang media konsert itu semalam.

Beliau berkata pengaruh Ella yang mampu menarik puluhan ribu peminat daripada pelbagai generasi menjadi antara faktor yang mendorong penganjuran siri konsert berkenaan.

RATU Rock Negara, Ella (tengah) pada sidang media pengumuman konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Sidang Penutup semalam. Konsert berkenaan akan diadakan di Unifi Arena Bukit Jalil pada 5 Disember ini. Foto BERNAMA

Rohit berkata konsert kemuncak itu turut menampilkan Yuna dan Datuk Ziana Zain, selain memperkenalkan konsep Audience Choice yang membolehkan peminat menentukan tema dan senarai lagu persembahan.

“Jika ada yang merasakan siri jelajah tahun ini sudah memadai, percayalah Sidang Penutup akan memberikan nikmat dan pengalaman berbeza. Ini bukan momen yang mudah diulang dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ella mengajak peminat untuk bersama-sama memeriahkan konsert berkenaan sebagai penutup perjalanan seni yang dikongsi sepanjang tahun ini.

“Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama-sama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama-sama. Kita akan mencipta kenangan yang akan disimpan sampai bila-bila,” katanya.

Penerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25 itu berkata beliau akan menggunakan tempoh rehat berkenaan untuk memberi tumpuan kepada bidang pertanian yang diceburinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di samping kerjaya seni, saya memang sudah terlibat dengan bidang pertanian untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi, tahun depan saya mahu fokus pada bidang ini, khususnya industri sawit. Saya hanya berehat daripada kerja-kerja seni sahaja, tetapi perkara lain saya masih teruskan,” katanya.

Tiket konsert itu akan mula dijual esok pada harga bermula RM179 dan boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com. – Bernama