PETRA JAYA, 21 Oktober: Sarawak mempergiat pembangunan infrastruktur tenaga menerusi peluasan bekalan gas asli, pembangunan loji jana kuasa serta penggunaan tenaga boleh baharu bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat dan menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu merangkumi pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching, dengan Taman Teknologi Tinggi Samajaya 2 di Samarahan dikenal pasti sebagai lokasi pertama bagi pembangunan hab berkenaan.

Beliau berkata, Petros menerajui pembangunan taman berkenaan, termasuk penyediaan infrastruktur penting, dengan tapaknya disasarkan sedia menerima pelabur pada awal 2028.
Menurutnya, pembangunan industri bernilai tinggi memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan rendah karbon, selaras dengan hala tuju Sarawak menerusi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang merangkumi hab strategik di Kuching, Bintulu, Samalaju dan Miri.

Dalam perkembangan berkaitan, saluran paip gas Samalaju–Bintulu sepanjang 65 kilometer dijangka siap menjelang akhir 2026 bagi membekalkan gas asli kepada industri sedia ada dan baharu di Taman Perindustrian Samalaju, sekali gus menyokong pengembangan aktiviti industri hiliran.
Keperluan tenaga yang semakin meningkat turut mendorong pembangunan loji jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) di Miri dan Samalaju bagi menambah kapasiti penjanaan elektrik.

Pada masa sama, Sarawak memperluas penggunaan tenaga boleh baharu menerusi pemeteraian sembilan perjanjian pembelian tenaga solar yang mewakili kapasiti keseluruhan 1,450 megawatt.
Abang Johari berkata, gabungan tenaga solar dan hidroelektrik akan meningkatkan sumbangan tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga Sarawak, manakala gas asli terus memainkan peranan dalam menyediakan bekalan elektrik yang stabil bagi menyokong peralihan tenaga.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pergulungan bagi agenda memperkukuh bekalan tenaga untuk masa depan Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Oleh Afiq Sallehi



