Warga media Sarawak hargai insentif RM700

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

KUCHING, 21 Oktober: Pengamal media di Sarawak menyifatkan pemberian insentif sekali bayar sebanyak RM700 menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berwibawa kepada masyarakat.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak dalam menghargai peranan wartawan serta pengamal media dalam pembangunan negeri.

Menurutnya, pemberian itu merupakan penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan warga media yang sentiasa memastikan masyarakat mendapat maklumat mengenai dasar kerajaan, perkembangan ekonomi, isu kemasyarakatan dan pelbagai peristiwa semasa.

“Bagi kebanyakan wartawan, profesion ini menuntut waktu bekerja yang panjang dan tidak menentu, tugasan yang mencabar serta tanggungjawab untuk memastikan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai disampaikan kepada orang ramai.

“Pengiktirafan seumpama ini amat dihargai oleh seluruh warga media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Wartawan Bebas (PEWARTA), Peter Sibon berkata, pemberian berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan pengamal media yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat.

Beliau berharap inisiatif itu dapat menyuntik semangat kepada warga media untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional, berintegriti dan penuh komitmen.

“Kami berharap keprihatinan Premier Sarawak menerusi pemberian ini dapat mengukuhkan lagi hubungan kerja antara kerajaan dengan warga media, di samping memupuk kerjasama yang lebih erat bagi memastikan orang ramai menerima maklumat yang tepat, berwibawa dan berkualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Cawangan Sarawak, Nancy Nais berkata, insentif berkenaan turut mengiktiraf peranan pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, menggalakkan ketelusan serta meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap dasar dan inisiatif pembangunan kerajaan.

“Pemberian insentif ini turut membawa mesej bermakna bahawa kebajikan dan sumbangan pengamal media diberikan perhatian serta penghargaan sewajarnya,” katanya.

Ketiga-tiga pertubuhan itu berharap sokongan berterusan kerajaan terhadap warga media dapat memperkukuh profesionalisme, integriti dan amalan kewartawanan yang bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat serta pembangunan Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat