PETRA JAYA, 21 Oktober: Liputan bekalan elektrik di kawasan luar bandar Sarawak kini mencapai 99.3 peratus berbanding 89.6 peratus pada 2017, hasil pelaksanaan projek penyambungan grid dan penyediaan bekalan elektrik luar grid.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan sebanyak 9.7 mata peratusan itu mencerminkan usaha kerajaan memperluas akses bekalan elektrik kepada masyarakat luar bandar, termasuk penduduk di kawasan pedalaman.
Menurutnya, peningkatan liputan berkenaan dicapai menerusi peluasan rangkaian grid elektrik serta pelaksanaan Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).
“Ketika saya mengambil alih pentadbiran, liputan bekalan elektrik luar bandar berada pada kadar 89.6 peratus dan kini meningkat kepada 99.3 peratus menerusi penyambungan grid serta pelaksanaan SARES,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2027 pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, penyediaan bekalan elektrik merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kemudahan asas dan taraf hidup penduduk luar bandar.
Dalam pada itu, pelaksanaan SARES membolehkan komuniti di kawasan terpencil menikmati bekalan elektrik alternatif, khususnya di lokasi yang sukar dihubungkan dengan rangkaian grid utama.
Untuk rekod, SARES merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi menyediakan bekalan elektrik kepada komuniti luar bandar yang belum mempunyai akses kepada rangkaian grid utama.
Oleh Masrin Affirah





