BINTANGOR, 21 Oktober: Seorang lelaki dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat selepas tersepit di tempat duduk pemandu sebuah Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan dengan lori simen di Jalan Pakan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 3.41 petang ini sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) BBP Bintangor di lokasi, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori simen dan sebuah kereta Perodua Viva.
“Terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pemandu Perodua Viva masih tersepit di tempat pemandu dalam keadaan sedar manakala pemandu lori simen dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Wan Azri Wan Adannan yang terlebih dahulu menjalankan penilaian awal.
“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat bagi mengumpil, memotong dan merenggangkan bahagian kenderaan untuk mewujudkan ruang yang mencukupi bagi proses menyelamat.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut berada di lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 4.50 petang,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





