KUCHING, 21 Oktober: Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) terus komited memperkasa komuniti perikanan negeri menerusi penyaluran bantuan berjumlah RM796,373.40 kepada 29 penerima melibatkan nelayan, penternak dan pengusaha perikanan di kawasan Kuching dan Santubong.
Bantuan tersebut disampaikan pada Majlis Interaksi dan Penyerahan Bantuan Kepada Nelayan, Penternak dan Pengusaha Perikanan Kuching dan Santubong Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sejinjang, Pejabat Perikanan Wilayah I, Kuching.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti sektor perikanan, memperkukuh pembangunan perusahaan serta membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti yang bergantung kepada industri tersebut.
Dalam pada itu, aspek keselamatan nelayan turut diberi perhatian apabila JPLS menyerahkan Peranti Pengesan Lokasi Kecemasan Peribadi (PLB) bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan ketika berada di laut.
Selain menyalurkan bantuan kepada komuniti perikanan, JPLS turut meneruskan usaha memelihara sumber marin menerusi pelaksanaan projek tukun tiruan bernilai RM467,848.00 di perairan Santubong.
Sebanyak 35 unit tukun rekreasi telah dilabuhkan pada 19 Julai lalu bagi menyediakan habitat baharu kepada hidupan marin, sekali gus menyokong pemuliharaan dan kelestarian sumber perikanan untuk jangka panjang.
Langkah berterusan itu memperlihatkan komitmen JPLS dalam memastikan industri perikanan Sarawak terus berkembang secara mampan, di samping menjaga kebajikan nelayan serta memelihara khazanah marin negeri.
Turut hadir Pengarah Kanan JPLS, Abdul Rahman Abdul Wahab, Timbalan Pengarah JPLS, Liza Long, Pegawai Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak, Imelda Rity Rantt serta nelayan dan pengusaha perikanan dari Kuching dan Santubong.
Oleh Adi Safarman





