KUALA LUMPUR, 21 Oktober: Pengalaman Malaysia dalam mengurus kebakaran hutan serta melaksanakan operasi pembenihan awan boleh membantu Indonesia menangani bencana itu yang kini mengakibatkan jerebu rentas sempadan, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni.
“Kerana sebelum ini, pasukan Malaysia memang mempunyai pengalaman mengurus isu-isu kebakaran hutan seperti apa yang berlaku di Sarawak dan juga proses pembenihan awan juga sememangnya kerap dilaksanakan di Malaysia.
“Ini mungkin boleh membantu pihak Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) di sini pada Rabu.
Beliau berkata Malaysia sentiasa bersedia untuk mempercepat penghantaran pasukan bantuan ke Indonesia sebaik sahaja urusan pelaksanaannya dimuktamadkan.
Menurut Lukanisman, perincian berkaitan logistik, penugasan anggota serta kepakaran dan peralatan bagi penghantaran itu masih pada peringkat perbincangan.
“Sudah pasti bantuan akan melibatkan logistik dan juga penyertaan anggota.
“Ini memerlukan satu saringan ataupun pihak Indonesia sedang meneliti apakah kepakaran dan juga peralatan yang akan kita bawa untuk membantu mereka khususnya di Kalimantan,” katanya.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia telah menawarkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan kira-kira 50 anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah.
Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia Dudung Abdurachman pada hari yang sama dilaporkan berkata bantuan luar, termasuk daripada Malaysia, perlu menunggu pengisytiharan bencana nasional.
Beliau berkata Indonesia belum membuat pengisytiharan sedemikian kerana kerajaannya masih berupaya menangani kebakaran itu menggunakan sumber tempatan.- Bernama





