DUN: Sarawak perlukan RM17.26 bilion naik taraf kemudahan kesihatan

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Dr Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya berhubung keperluan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di Sarawak pada Persidangan DUN Sarawak ke-19.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Sarawak memerlukan RM17.26 bilion bagi menaik taraf kemudahan kesihatan supaya setanding dengan standard di Semenanjung Malaysia, termasuk kerja menaik taraf dan membaik pulih hospital serta klinik kesihatan, selain pembinaan fasiliti baharu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata daripada jumlah itu, RM8.98 bilion diperlukan untuk menaik taraf dan membaik pulih kemudahan kesihatan sedia ada, manakala RM8.28 bilion lagi bagi pembinaan kemudahan baharu.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata keperluan itu penting bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang setanding dengan Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Sim berkata beliau memohon Kerajaan Persekutuan membenarkan pengambilan khas bagi mengisi 5,654 kekosongan jawatan di Jabatan Kesihatan Sarawak, bersamaan kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja jabatan berkenaan.

Selain mengisi kekosongan sedia ada, Sarawak memerlukan kira-kira 11,000 jawatan tambahan bagi memenuhi norma dan standard penjawatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Keperluan jawatan tambahan itu dikenal pasti susulan audit KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam terhadap tujuh hospital di Sarawak pada tahun lalu.

Sim berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian kepada keperluan kemudahan dan tenaga kerja kesihatan di Sarawak bagi memastikan sistem kesihatan wilayah itu dapat memenuhi keperluan penduduk.

Sehingga 30 September 2026, Jabatan Kesihatan Sarawak menerima RM2.91 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM552.64 juta bagi perbelanjaan pembangunan daripada KKM.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.

Oleh Afiq Sallehi