KUCHING: Cadangan untuk mengemaskini definisi Anak Negeri Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat pindaan untuk menggambarkan kepelbagaian bangsa masyarakat di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat bahawa, ia adalah satu cadangan yang baik di mana Perlembagaan Persekutuan itu banyak yang perlu dibuat pindaan.
“Harapan saya, dengan adanya menteri yang melihat kepada perkara berkenaan dengan perlembagaan di pusat supaya dapat memperhalusi terutama sekali dengan hak-hak negeri yang perlu banyak dipinda.
“Kenapa ia tidak diatur dahulu, saya pun kurang pasti tetapi ia perlu diatur supaya ia dapat menunjukkan apa yang betul dengan butiran-butiran berkenaan ataupun persetujuan yang telah dipersetujui apabila kita menubuhkan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai definisi Anak Negeri Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia selalu menjadi perhatian negeri kerana definisi semasa tidak tepat menggambarkan pelbagai bangsa penduduk asalnya oleh Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Ditanya apakah signifikannya kepada rakyat Sarawak sekirannya definisi itu diubah, beliau berkata, ia adalah satu pengiktirafan kepada bangsa-bangsa tertentu di negeri ini.
“Janganlah kalau dahulu kita anggap sebagai hanya lain-lain sahaja, sekurang-kurangnya ia diperhalusi supaya sesuatu bangsa itu menyerlah,
“Saya percaya tidak ada bangsa yang dianggap sebagai bangsa lain-lain sahaja, kalau isi borang lain-lain,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan adanya pengiktirafan sedemikian ia akan membuatkan sesuatu bangsa itu dihormati.
Oleh JEAKQLEYN YACHO