PETALING JAYA, 20 Oktober: Biarpun selesa membawakan watak aksi, pelakon dan atlet Theebaan G, 36, kini mahu mencabar kemampuan diri menerusi peranan yang bermain dengan emosi agar karier seninya tidak terbatas pada adegan pertarungan semata-mata.
Berhasrat untuk dikenali sebagai pelakon versatil yang mampu menghidupkan pelbagai karakter, beliau berkata penerokaan watak yang memerlukan penghayatan emosi lebih mendalam menjadi fokus utamanya dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Saya mahu dikenali sebagai seorang pelakon ataupun anak seni, walaupun saya bermula dalam bidang aksi, tetapi lama-kelamaan saya berminat untuk meneroka genre lain juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pengumuman lima calon terbaik (Top 5) Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), di sini baru-baru ini.
Menurut pelakon filem PASKAL The Movie itu, minat untuk meneroka watak beremosi timbul selepas melihat cara pelakon lain menghidupkan karakter berat menerusi pelbagai teknik lakonan.
Beliau berkata percubaannya di luar genre aksi bermula dengan watak hantu, disusuli penampilan dalam drama komedi romantik pertamanya PL, I Love You, yang kini sedang ditayangkan di Astro Ria.
“Saya akui pada awalnya saya agak kekok membawakan adegan komedi romantik, namun mula yakin selepas melihat hasil lakonan saya.
“Peminat juga ada yang hantar mesej di Instagram, (mereka) cakap tidak tahu pula saya boleh berlakon macam ini. Ini sesuatu yang saya sedang cuba dan saya suka,” katanya.
Dalam pada itu, Theebaan turut meluahkan rasa teruja apabila tercalon dalam senarai Top 5 bagi kategori Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik FFM35 menerusi filem The Furious: Pertaruhan Maruah.
Beliau akan bersaing dengan Defenderz Action Team menerusi Tarung: Unforgiven dan Gayong 2, James Chung (Magik Rompak) serta Wong Choon Meng (Meng) menerusi Legasi Bomba The Movie.
“Persaingan memang sengit terutamanya dengan Defenderz Action Team yang menampilkan seni pertarungan hebat.
“Harapan memang ada, tapi saya doakan yang terbaik untuk semua calon,” katanya yang pernah merangkul gelaran juara karate kebangsaan lapan kali, sebelum muncul juara kategori welterweight Malaysia dalam sukan seni bela diri campuran (MMA) pada 2016.- Bernama





