RM25 juta perkukuh ekosistem keusahawanan belia Sarawak

Facebook
WhatsApp
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN, hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 20 Oktober: Kerajaan Sarawak memperkukuh sokongan terhadap pembangunan usahawan muda menerusi inisiatif pinjaman mudah berjumlah RM25 juta, selain menyediakan latihan dan bimbingan bagi membantu golongan itu membangunkan perniagaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif pinjaman mudah itu melengkapi peruntukan RM1.6 juta bagi Geran SYStartUP pada 2026 yang bertujuan membantu golongan muda memulakan dan mengembangkan perniagaan.

PESERTA program Pemula Peniaga Niaga Belia Sarawak (SYStartUP) Kohort 3 bergambar kenangan pada majlis penutupan program di Sibu, 11 Oktober lalu. Foto Ukas

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada hari ketujuh Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Menurutnya, usaha memperkasa keusahawanan belia turut dilaksanakan menerusi program Pemula Peniaga Niaga Belia Sarawak (SYStartUP) yang menyediakan latihan dan bimbingan kepada peserta.

Program itu merangkumi pendedahan kepada pemasaran digital dan penghasilan video menggunakan kecerdasan buatan (AI), selain sesi rundingan berkaitan harta intelek bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta perkongsian bersama institusi perbankan.

SESI konsultasi secara langsung bersama rakan strategik bagi membantu usahawan muda mendapatkan bimbingan dan nasihat berkaitan pembangunan perniagaan. Foto Ukas

Dalam usaha memperluas sokongan kepada usahawan muda, Hab SYStartUP Sarawak dilancarkan pada 15 Oktober lalu di Jalan Kulas, Kuching bagi menyokong aktiviti dan pembangunan perniagaan golongan berkenaan.

Kementerian itu turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyokong perusahaan baharu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

PESERTA program keusahawanan teknologi belia dan aplikasi digital menyertai aktiviti latihan serta perkongsian ilmu berkaitan teknologi dan pemasaran digital. Foto Ukas

Sementara itu, program SYStartUP Kohort 3 berlangsung di Sibu dari 4 hingga 11 Oktober lalu, selepas pelaksanaan kohort terdahulu di Kuching dan Miri.

Abdul Karim berkata, pelbagai inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkasa keusahawanan belia melalui pertumbuhan perniagaan, inovasi dan kelestarian.

Oleh Shikin Mahmud