KUCHING, 20 Oktober: Pameran antarabangsa bertemakan Mesir Purba yang menampilkan 110 artifak, termasuk mumia manusia berusia lebih 5,000 tahun, bakal menjadi tarikan baharu pelancongan Sarawak apabila berlangsung di Muzium Budaya Borneo (BCM) selama enam bulan mulai Julai 2027.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran pameran itu dijangka menarik pengunjung tempatan dan luar negara, khususnya ketika Sarawak menjadi antara destinasi tumpuan sempena Sukan SEA 2027.
Menurutnya, persiapan bagi penganjuran pameran itu sedang berjalan, manakala sasaran jumlah pengunjung dan kadar bayaran masuk masih dalam penelitian.
“Selalunya pameran seperti ini berlangsung agak lama kerana proses membawa masuk bahan pameran bukan mudah.
“Kalau kita buat untuk satu bulan sahaja, rugi. Jadi, kita akan buat selama enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata penganjuran pameran itu memerlukan perancangan rapi, termasuk dari segi kos pengangkutan, insurans dan pengendalian bahan pameran yang memerlukan penjagaan khusus.
Katanya, sesetengah artifak dan mumia perlu disimpan pada suhu tertentu bagi memastikan keadaannya kekal terpelihara sepanjang tempoh pameran.
Bagaimanapun, beliau percaya kos penganjuran itu tidak akan terlalu membebankan.
Beliau turut menyambut baik usaha Jabatan Muzium Sarawak memperkenalkan pameran baharu secara berterusan bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung mengunjungi muzium.
Berdasarkan teks penggulungan kementeriannya, pameran bertajuk Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality itu akan menampilkan 110 artifak daripada koleksi Muzium Arkeologi Kebangsaan Florence, Itali.
Pameran itu juga merupakan pameran jelajah antarabangsa pertama bertemakan Mesir Purba yang akan diadakan di Malaysia.
Oleh Masrin Affirah




