KUCHING, 20 Oktober: Saat peserta lain melangkah ke pentas dengan pengalaman dalam dunia peragaan, Abbel Emmanuel Juman Neo, 23, berdepan satu cabaran yang lebih besar daripada persaingan itu sendiri, iaitu melawan keraguan terhadap kemampuan dirinya.
Namun, anak jati Sarawak itu membuktikan bahawa rasa kurang yakin bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila berjaya meraih gelaran tempat ketiga (2nd Runner-Up) pada pertandingan Miss and Mister Native Borneo 2026, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Bagi Abbel Emmanuel, pencapaian itu cukup bermakna kerana kejayaan yang pada awalnya sukar dipercayai akhirnya menjadi kenyataan, sekali gus membolehkannya mengharumkan nama Sarawak di pentas berkenaan.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak percaya dapat meraih gelaran tempat ketiga. Namun, saya berasa bangga dengan pencapaian ini dan tetap bersyukur atas usaha serta bimbingan pasukan saya, AMT Talent, dan berkat doa ibu bapa,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, terselit perjalanan yang menguji keyakinan dirinya apabila melihat kebanyakan peserta lain mempunyai pengalaman dalam dunia peragaan.
Situasi itu pada awalnya membuatkan beliau berasa kurang yakin, namun sokongan dan dorongan pasukan AMT Talent menjadi pembakar semangat untuknya bangkit dan memberikan saingan terbaik kepada finalis lain.
Bagi beliau, pertandingan itu bukan sekadar medan untuk merebut gelaran, tetapi peluang menguji kemampuan diri, keluar daripada zon selesa dan membuktikan bahawa anak muda Sarawak juga mampu menyerlah di pentas lebih besar.
Mengakui persiapan komunikasi sebagai antara cabaran terbesar, Abbel Emmanuel berkata pengalaman tersebut menyedarkannya tentang kepentingan meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan orang ramai.
Namun, jika ada satu keistimewaan yang menjadi kekuatannya, ia adalah penglibatan dalam dunia seni budaya yang sudah sebati dengan dirinya.
“Sebagai seorang artis budaya, pentas dan diri saya berpisah tiada,” katanya.
Kecintaannya terhadap seni budaya bukan sahaja menjadi sebahagian daripada identiti diri, malah memberikan keunikan tersendiri ketika bersaing dengan peserta lain.

Sebagai anak jati Sarawak, beliau melihat pencapaian itu sebagai satu kebanggaan kerana berpeluang membawa nama negeri ke pentas pertandingan, selain membuktikan bahawa platform seperti Miss and Mister Native Borneo mampu membuka ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat dan membina keyakinan diri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, sepanjang penyertaannya.
Bagaimanapun, bagi Abbel Emmanuel, kejayaan itu bukanlah titik akhir perjalanan seninya
Sebaliknya, beliau mahu memanfaatkan pengalaman yang diperoleh untuk terus mengembangkan bakat dalam bidang kebudayaan, termasuk merancang mengadakan bengkel tarian Ngajat Iban, khususnya Ngajat Lesong.
Usaha itu diharap dapat menjadi ruang untuk berkongsi pengetahuan serta memperkenalkan seni warisan Iban kepada lebih ramai orang, terutama generasi muda.
Mengenai penyertaan dalam pertandingan seumpama itu pada masa akan datang, beliau berkata keputusan masih belum dimuktamadkan.
Sekiranya kembali ke pentas pertandingan, Abbel Emmanuel berhasrat memperbaiki persiapan dari segi komunikasi supaya dapat tampil dengan keyakinan lebih tinggi ketika berhadapan dengan khalayak ramai.
Daripada keraguan yang pernah membelenggu diri kepada kejayaan berdiri sebagai antara tiga peserta terbaik, perjalanan Abbel Emmanuel membuktikan bahawa keberanian untuk mencuba mampu membuka jalan kepada pengalaman dan pencapaian yang tidak pernah disangka.
Bagi anak muda Sarawak itu, gelaran yang diraih bukan sekadar lambang kejayaan peribadi, tetapi peluang untuk terus membawa nama negeri dan identiti budaya ke pentas yang lebih luas.
Oleh Norman B





