KABONG, 19 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul isteri dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Gerigat, Kabong, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar 8.00 malam susulan perselisihan faham antara suspek dengan isterinya yang berusia 27 tahun.
Menurutnya, perselisihan faham tersebut dipercayai berpunca daripada rasa marah suspek selepas ditegur isterinya kerana dikatakan kerap mengambil minuman keras.
“Suspek dipercayai memukul isterinya menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan lebam di bahagian kening kanan, manakala anak lelaki mereka turut mengalami lebam di bahagian kening kiri selepas dipercayai dipukul ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Melihat keadaan semakin membimbangkan, tuai rumah bertindak menarik pengadu dan anaknya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk daripada berlaku.
Pengadu kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Kabong bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak polis.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji berjaya menahan suspek di tepi Jalan Gerigat, Kabong, hari ini.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengakui berlaku perselisihan faham dengan isterinya sebelum kejadian pukul tersebut berlaku.
“Suspek turut mendakwa dirinya berada dalam keadaan tidak waras selepas selesai meminum minuman keras jenis langkau bersama rakan-rakannya di rumah panjang,” ujar DSP Mathew.
Lebih membimbangkan, menurut keterangan pengadu, suspek didakwa hampir setiap hari mengambil minuman keras dan sering memukulnya setiap kali berlaku perselisihan faham antara mereka.
Pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun.
Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).
Polis mengesahkan kes berkenaan telah selesai dari segi tindakan siasatan yang dilaporkan.
Oleh Adi Safarman





