DUN: 299 alat bantuan navigasi perkukuh keselamatan sungai Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Lee Kim Shin ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pengangkutan Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Sebanyak 299 alat bantuan navigasi dipasang di sungai utama dan perairan tertentu di Sarawak setakat 31 Ogos 2026 bagi membantu meningkatkan keselamatan pelayaran serta melindungi pengguna pengangkutan sungai.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, daripada jumlah itu, 152 alat ditempatkan di wilayah Sibu, diikuti 82 di Kuching dan 65 di Miri.

Kemudahan berkenaan merangkumi 17 pelampung pelayaran, 23 lampu suar, 21 lampu transit, 17 lampu jambatan, 93 tanda siang dan papan tanda jambatan serta 128 papan tanda laluan sungai.

“Alat bantuan navigasi ini menyokong perjalanan sungai yang lebih selamat dengan membantu pengendali bot mengenal pasti alur pelayaran dan lintasan jambatan, di samping melindungi penumpang, kargo serta komuniti yang bergantung pada pengangkutan sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Selain penyediaan kemudahan navigasi, pematuhan terhadap peraturan pengangkutan sungai turut diberi perhatian menerusi pengeluaran permit dan aktiviti penguatkuasaan.

Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menerima 6,460 permohonan Permit Pengangkutan Sungai dari 2022 hingga 2026, terdiri daripada 526 permohonan baharu dan 5,934 pembaharuan.

Menurut Lee, permit itu membolehkan pengendali bot mengenakan bayaran bagi perkhidmatan membawa penumpang dan barangan di sungai yang diwartakan, selain memastikan bot mempunyai lesen, kelengkapan keselamatan dan insurans yang diperlukan.

Dari 2022 hingga 2025, sebanyak 293,319 ketibaan dan pelepasan bot penumpang direkodkan, manakala 3,482,920 penumpang menggunakan kemudahan LSS.

Dalam tempoh sama, sebanyak 11,408 kapal kargo menggunakan jeti LSS dengan jumlah muatan 1,230,203 tan, sementara kawasan pelabuhan sauh merekodkan 93,175 kunjungan kapal kargo.

Bagi Januari hingga Ogos 2026, LSS merekodkan 52,365 ketibaan dan pelepasan bot penumpang serta 389,454 penumpang. Dalam tempoh itu, sebanyak 2,066 kapal kargo direkodkan dengan jumlah muatan 182,673 tan, manakala kawasan pelabuhan sauh mencatatkan 15,117 penggunaan.

Dalam aspek penguatkuasaan, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak (JLM) menjalankan 157 operasi dan mengeluarkan 214 kompaun dari 2022 hingga 2025, manakala LSS mengeluarkan 327 kompaun dalam tempoh sama.

Bagi 2026, JLM mengeluarkan 39 kompaun dari Januari hingga September, sementara LSS mengeluarkan 107 kompaun dari Januari hingga Ogos.

Lee berkata, operasi berkenaan melibatkan rondaan, pemeriksaan kapal dan kerjasama dengan agensi lain bagi memastikan peraturan pengangkutan maritim serta sungai dan keperluan keselamatan dipatuhi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM150 juta bagi kerja pembaikan segera di Empangan dan Kunci Kapal Sungai Sarawak susulan kejadian hakisan di kawasan berkenaan.

Peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Mac 2026 itu bertujuan melindungi struktur empangan serta memastikan fungsi tebatan banjirnya terus terpelihara.

Projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Oleh Shahrul Qaizat