PETRA JAYA, 19 Oktober: Seramai 497 pekerja asing dikesan menghidap Hepatitis B manakala 119 lagi dikesan menghidap tuberkulosis (TB) menerusi pelaksanaan saringan kesihatan pekerja asing di Sarawak.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie anak Tayai berkata, kes berkenaan dikenal pasti melalui Sistem Maklumat Kesihatan Pekerja Asing Sarawak (SAFHIS).
“Pekerja asing yang gagal pemeriksaan kesihatan tidak dibenarkan meneruskan proses mendapatkan kebenaran bekerja di negeri ini.
“Semua pekerja asing diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh 30 hari selepas tiba di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Jabatan Premier Sarawak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, majikan yang pekerja asingnya gagal saringan kesihatan dibenarkan mendapatkan pekerja pengganti tanpa dikenakan caj tambahan dalam tempoh 60 hari.
“Tempoh itu dikekalkan kerana kerajaan negeri berpandangan ia mencukupi untuk majikan menguruskan penggantian pekerja asing.
“Purata tempoh pemprosesan permohonan pekerja asing kini sekitar 40 hingga 43 hari, berbanding 80 hari sebelum ini,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh penggantian berkenaan merupakan sebahagian daripada prosedur pengurusan pekerja asing yang dilaksanakan melalui Sistem Dalam Talian Tenaga Kerja Bukan Sarawak Termaju Sarawak (SANSOLS).
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pekerja asing perlu memenuhi syarat pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan meneruskan proses mendapatkan kebenaran bekerja di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah




