DUN: Sarawak sasar 15,000 MW kapasiti elektrik menjelang 2035, 60 peratus tenaga boleh baharu

Facebook
WhatsApp
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang DUN, hari ini.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 15,000 megawatt (MW) menjelang 2035, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada sumber tenaga boleh baharu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sasaran itu disokong tiga projek utama berkapasiti keseluruhan 3,285 MW, iaitu hidroelektrik Baleh, Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Samalaju (CCPP) dan Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan Miri (CCGT).

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Projek hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285 MW dijangka beroperasi pada suku keempat 2029, manakala Samalaju CCPP berkapasiti 1,500 MW akan beroperasi secara berperingkat pada 2027.

Projek Miri CCGT berkapasiti 500 MW pula mencatat kemajuan fizikal 63 peratus dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2027.

Ketika ini, kapasiti penjanaan elektrik Sarawak ialah 5,928 MW berbanding permintaan sekitar 4,800 MW. Kerajaan negeri turut menyasarkan kapasiti 10,000 MW menjelang 2030.

Selain itu, potensi tenaga solar berskala besar di Sarawak dianggarkan mencapai 1,500 MW, manakala projek sumber kuasa berperingkat (Cascading Power Sources, CPS) berkapasiti 3,000 MW dan Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Kuching berkapasiti 5,000 MW masih dalam kajian.

Dalam usaha memperkukuh eksport tenaga, Sarawak kini membekalkan purata 100 MW elektrik ke Kalimantan Barat dan 30 MW ke Sabah.

Kerajaan negeri turut merancang eksport sekurang-kurangnya 30 MW ke Brunei, sehingga 1,000 MW ke Singapura dan sekurang-kurangnya 1,000 MW ke Semenanjung Malaysia. Cadangan berkenaan masih pada peringkat rundingan, kajian kebolehlaksanaan atau perbincangan awal.

Oleh Shikin Mahmud