Projek RM88.9 juta naik taraf Stutong Link, Bulatan Stutong bermula esok

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menyaksikan penyerahan tapak projek naik taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Stutong. Foto: Douglas Uggah Embas Official

KUCHING, 19 Oktober: Projek naik taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Stutong bernilai RM88.9 juta dijangka meningkatkan kelancaran aliran trafik serta keselesaan pengguna jalan raya, khususnya penduduk Stutong dan kawasan sekitarnya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan projek itu memperlihatkan usaha kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik, selamat dan mampu memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat.

“Ini merupakan sumbangan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada rakyat Sarawak melalui pembangunan infrastruktur yang lebih baik, selamat dan mampu memenuhi keperluan pengguna jalan raya,” katanya selepas menyaksikan penyerahan tapak projek berkenaan hari ini.

PROJEK sepanjang 3.311 kilometer itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada jalan dua hala kepada jalan berkembar. Foto: Douglas Uggah Embas Official

Projek sepanjang 3.311 kilometer itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada jalan dua hala kepada jalan berkembar, selain menukar Bulatan Stutong kepada persimpangan berlampu isyarat bagi membantu mengurus pergerakan trafik di kawasan berkenaan.

Skop pembangunan turut merangkumi pembinaan jambatan konkrit bertetulang sepanjang 90 meter merentasi Sungai Stutong, termasuk pembinaan jalan pendekat dan tembok penahan. Kerja lain melibatkan penaiktarafan turapan jalan, sistem saliran serta pemasangan lampu jalan.

Menurut Uggah, kemudahan yang dinaik taraf itu diharap dapat melancarkan perjalanan dan meningkatkan keselesaan pengguna, terutama penduduk Stutong serta mereka yang menggunakan laluan Kuching–Kota Samarahan Expressway.

Projek berkenaan dilaksanakan oleh Ibraco Construction Sdn Bhd dengan Jurutera CSD Sdn Bhd sebagai perunding. Tempoh kontrak ditetapkan selama 24 bulan, bermula esok hingga 19 Oktober 2028.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan pengurusan trafik, memandu dengan berhati-hati serta menggunakan laluan lencongan sementara apabila diarahkan sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris.

Oleh Adi Safarman