DUN: Tong gas kuning masih boleh ditukar kepada tong merah Petros Niaga secara percuma

Facebook
WhatsApp
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ketika menjawab pertanyaan berhubung isu pertukaran tong gas kuning kepada tong merah PETROS Niaga pada persidangan DUN, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Pemegang tong gas petroleum cecair (LPG) berwarna kuning, termasuk yang masih menggunakan jenama Shell, boleh menukarnya kepada tong merah Petros Niaga secara satu dengan satu tanpa sebarang caj.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kemudahan pertukaran itu masih dibenarkan oleh kerajaan Sarawak meskipun perniagaan tong gas kuning Shell telah diambil alih oleh MyGaz lebih 10 tahun lalu.

Beliau menjelaskan, pengambilalihan berkenaan bermakna tong gas kuning yang sebelum ini menggunakan jenama Shell kini menjadi milik MyGaz.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat berhati mulia. Kami masih membenarkan pertukaran tanpa sebarang caj bagi sesiapa yang mempunyai tong gas kuning untuk ditukar kepada tong gas LPG merah milik Petros Niaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan, Violet Yong (DAP-Pending) semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Terdahulu, Violet membangkitkan masalah penolakan pertukaran tiga tong gas kuning berjenama Shell di 29 Main Bazaar pada 9 September lalu.

Menurutnya, permohonan pertukaran telah dibuat kepada Petros, namun pekerja penyedia perkhidmatan LPG Min Soon (MS Gas) enggan menerima tong berkenaan.

VIOLET Yong (DAP-Pending) ketika mengemukakan pertanyaan berhubung isu pertukaran tong gas kuning kepada tong merah Petros Niaga pada persidangan DUN, hari ini. Foto UKAS.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan sama ada kemudahan pertukaran tersebut turut meliputi tong gas kuning berjenama Shell atau hanya tong yang dikaitkan dengan MyGaz.

Violet turut berharap isu berkenaan dapat diselesaikan supaya pengguna tidak perlu berulang kali menghubungi talian khidmat pelanggan dan penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan penyelesaian.

Menjawab perkara itu, Julaihi menegaskan bahawa pemegang tong gas kuning masih dialu-alukan untuk menukarnya kepada tong merah Petros Niaga mengikut aturan sedia ada tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Sarawak turut memperkukuh pematuhan standard kualiti dan keselamatan dalam industri gas menerusi pelaksanaan pensijilan ISO 29001.

Pensijilan itu ditetapkan sebagai syarat bagi permohonan dan pembaharuan lesen industri gas bagi memastikan pemain industri mematuhi standard berkaitan kualiti dan keselamatan, selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Menurut Julaihi, langkah itu bertujuan memperkukuh industri gas Sarawak supaya lebih selamat, berdisiplin dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Setakat ini, sebanyak 21 daripada 36 pemain industri gas yang dikenal pasti telah memperoleh pensijilan ISO 29001.

Oleh Shikin Mahmud