KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang meninggal dunia pada 28 September lepas.
Beliau turut melahirkan rasa terharu atas doa yang tidak putus-putus dipanjatkan untuk Allahyarham Dr Siti Hasmah sehingga kini, sama ada ketika menziarahi pusaranya mahupun dari tempat lain.
“Ia mengingatkan saya, di tengah-tengah kesedihan yang begitu memedihkan ini, supaya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah kepada saya untuk sekian lama, sehingga ke usia saya yang kini hanya berbaki sedikit masa.
“Bagi pihak seluruh ahli keluarga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook hari ini.
Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa beliau bercadang untuk kembali ke pejabat dalam sehari dua ini, namun keadaan kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf sekiranya sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” katanya.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi, 28 September lepas, pada usia 100 tahun. Jenazah beliau disemadikan dengan Istiadat Pengebumian Negara di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya. – Bernama





